Hari Paus Sedunia: Kelangsungan hidup mamalia laut terancam perlu diberi perhatian

Bernama
Februari 18, 2024 08:00 MYT
Hari Paus Sedunia disambut pada 18 Februari setiap tahun bagi mempromosi kesedaran dan kepentingan melestarikan kehidupan haiwan itu. - Gambar fail REUTERS
KUALA LUMPUR: Kesedaran orang ramai dan pihak berkepentingan terhadap hidupan laut terancam terutama ikan paus penting bagi menjamin kelangsungan hidup mamalia itu untuk generasi akan datang.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan semalam sempena Hari Paus Sedunia memaklumkan kepentingan perlindungan spesies itu dan meminta agar kolaboratif semua pihak dituntut bagi memastikan populasi mamalia tersebut tidak terancam.
"Bagi melindungi spesies haiwan yang semakin pupus itu, masih banyak inisiatif yang perlu diambil oleh semua pihak dengan DOF akan terus mendukung dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dalamkonservasi paus serta pelbagai inisiatif perlindungan laut yang lain," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut antara usaha yang dilakukan oleh DOF ialah mengadakan kempen pendidikan dan bengkel serta aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang.
"Bagi memelihara dan memulihara spesies haiwan itu, DOF menasihati orang ramai agar mengurangkan penggunaan plastik, tidak membuang sisa toksik ke dalam laut serta menyokong organisasi yang berusaha memerangi pencemaran laut dengan mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan pantai," katanya.
Menurut DOF, adalah penting untuk membiarkan ikan paus kekal liar dalam persekitaran semula jadi mereka tanpa mengganggu mahupun memberikan makanan jika terjumpa di pesisiran pantai agar mamalia itu tidak mengalami sebarang tekanan.
DOF turut berkongsi beberapa siri penampakan spesies paus yang dilihat buat kali terakhir berdasarkan corak migrasi dan laluan mamalia itu.
Antaranya Paus Bryde (Balaenoptera Edeni) di perairan Langkawi pada Jun 2022, Paus Omura (Balaenoptera Omurai) berhampiran pantai Sabah pada 2012 dan Paus Sei (Balanoptera Borealis) iaitu spesies ketiga terbesar di dunia di Pulau Carey dan Banting di Selangor, Pantai Nenasi di Pahang dan Sungai Sarang Buaya di Batu Pahat, Johor.
Ikan paus dilindungi di Malaysia di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang menyatakan bahawa ia tidak dibenarkan dipancing, diganggu, diusik, ditangkap, dibunuh mahupun diambil dan pesalah berdepan denda tidak melebihi RM5,000.
Hari Paus Sedunia disambut pada 18 Februari setiap tahun bagi mempromosi kesedaran dan kepentingan melestarikan kehidupan haiwan itu.
-- BERNAMA
#paus #spesies terancam #Hari Paus Sedunia #jabatan perikanan
;