Hari Pahlawan: Agong, Permaisuri zahir penghargaan kepada warga ATM, PDRM

Hafizi Rosli
Julai 31, 2021 08:52 MYT
Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi penghargaan kepada warga ATM dan PDRM sempena Hari Pahlawan. -Foto Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Pahlawan.
Dalam muat naik di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menghargai pengorbanan dicurahkan mereka tanpa mengira masa dan penat lelah terutama mereka yang menjadi barisan hadapan membantu memerangi penularan wabak COVID-19.
Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Yang di-Pertuan Agong menyanjung tinggi atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.
Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
Jerit perih para pejuang tanah air ketika dahulu dan masa kini adalah demi negara yang berdaulat.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial
Sambutan Hari Pahlawan disambut setiap 31 Julai bagi mengenang peranan dan jasa-jasa anggota pasukan keselamatan dalam menegakkan keselamatan dan keamaman serta mempertahankan maruah negara daripada ancaman dalam dan luar.
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #COVID-19 #Raja Permaisuri Agong #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Yang di-Pertuan Agong #PDRM #Malaysia #Hari Pahlawan
;