Hari Migran Sedunia: Rendang jadi sumber inspirasi Tukdin majukan perniagaan di London
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 18, 2020 12:23 MYT
Disember 18, 2020 12:23 MYT
KUALA LUMPUR : JUADAH rendang ialah antara sumber inspirasi buat seorang pengusaha restoran meneruskan perniagaan makanan Malaysia di London, United Kingdom.
Bagi pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia, Zainuddin Yahaya, 67, juadah dan hidangan Malaysia adalah inspirasi utama bagi memajukan perniagaannya,
Mesra dikenali sebagai Tukdin, restoran yang dibangunkannya kini sudah beroperasi lebih 10 tahun.
"Apa yang memberi inspirasi utama kepada saya adalah juadah rendang yang sebelum ini dinobatkan sebagai makanan nombor satu oleh CNN termasuk sate dan mi kari yang juga antara makanan pada tangga tiga ke atas.
"Juadah-juadah itu adalah sebahagian daripada juadah Malaysia dan itu yang kita promosikan pada restoran kami.
"Kebanyakan rakyat Eropah suka untuk menikmati rendang dan mereka sering mengulangi juadah tersebut jadi itu adalah antara inspirasi buat kami untuk terus maju," katanya dihubungi Astro AWANI.
Walaupun sudah menetap di negara itu lebih 40 tahun dan beroleh status penduduk tetap, Tukdin sentiasa mengutamakan selera dan kualiti sajian untuk menepati cita rasa pelanggannya sama ada rakyat negara itu atau rakyat Malaysia yang menetap di UK.
Menceritakan semula pengalaman Tukdin semasa baharu menetap di UK, dia dapat merasai sendiri tidak ada diskriminasi mahupun stigma terhadap migran di negara itu.
"Tidak ada langsung sifat diskriminasi di negara ini kecuali beberapa kawasan di London.
"Apabila bercerita tentang makanan, jika rakyat negara itu masuk kedai menjual kebab yang dijalankan oleh pendatang asing sekalipun, mereka tetap akan membelinya.
"Jadi perkara ini memudahkan urusan perniagaan makanan di negara ini terutamanya untuk menjalankan perniagaan makanan mengikut etnik di sini," jelasnya.
Malah, jelasnya ketika pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kerajaan Britain banyak membantu perniagaan sepertinya dengan memberikan bayaran gaji minimum dan mengecualikan bayaran cukai pintu hingga Mac depan.
Justeru, sempena Hari Migran Sedunia yang disambut pada 18 Disember setiap tahun, Tukdin menggesa agar rakyat Malaysia perlu berani mengembangkan potensi diri dalam menerokai peluang di luar negara.
#Britain
#London
#United Kingdom
#COVID-19
#pandemik
#Zainuddin Yahaya
#restoran
#perniagaan makanan
#rendang
#Tukdin Flavous of Malaysia