Hari Migran Sedunia: Komunikasi antara cabaran utama Fauzi di Zurich
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 18, 2020 12:11 MYT
Disember 18, 2020 12:11 MYT
KUALA LUMPUR : Persekitaran dan budaya yang berbeza di setiap negara di dunia merupakan antara cabaran yang perlu ditangani dengan bijak buat anak tempatan yang bekerja di luar negara.
Bagi ahli farmasi kualiti penyelidikan, Mohamad Fauzi Zakaria, 47, cabaran utama ketika menjejakkan kaki di Zurich, Switzerland adalah komunikasi.
"Pada awal saya pindah ke Zurich, antara cabaran utama adalah penggunaan bahasa mereka di sini, dan kebanyakannya mereka bertutur dalam bahasa Jerman.
"Pada awalnya, saya dan ahli keluarga tidak fasih berbahasa Jerman tetapi selepas lebih 10 tahun menetap di sini, kami sudah boleh berbahasa Jerman.
"Apa yang penting di negara ini adalah proses berintegrasi, walaupun anda menetap di negara ini sebagai pendatang asing yang berkerja di negara ini, mereka mahu kita semua melalui proses integrasi yang berkesan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Fauzi yang sudah menetap di Zurich hampir 10 tahun dan mendapat status penduduk tetap berkata cabaran lain termasuk memastikan kos kelangsungan hidup mencukupi setiap tahun.
"Kos kelangsungan hidup di Swiss ini sangat mahal. Kita di sini perlu mampu untuk menampung diri sendiri dan juga keluarga.
"Malah proses pembaharuan permit juga memerlukan kajian perbelanjaan sepanjang tahun bagi memastikan kos kelangsungan hidup mencukupi," jelasnya.
Anak kelahiran Terengganu itu juga memaklumkan dia dan keluarga tidak pernah janggal untuk menerima budaya lain di negara itu.
Dalam pada itu, penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara ketika ini mengukuhkan lagi hubungan rakyat Malaysia yang berada di Switzerland apabila mereka saling berkongsi maklumat terkini.
Sempena Hari Migran Sedunia yang disambut 18 Disember setiap tahun, Fauzi turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus berusaha untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka.