Hari Malaysia: Tiga elemen bina keharmonian, kesejahteraan negara - Bung Moktar

Bernama
September 15, 2022 18:20 MYT
Bung Moktar berkata elemen terbabit amat penting dalam memelihara kemakmuran negara selain menjadi kekuatan dalam mendepani cabaran mendatang sekali gus mengekalkan keamanan sedia ada. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Tiga elemen merangkumi perpaduan kaum, kesepaduan sosial dan integrasi nasional merupakan kunci utama dalam usaha membina keharmonian dan kesejahteraan negara, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah 2022 berkata elemen terbabit amat penting dalam memelihara kemakmuran negara selain menjadi kekuatan dalam mendepani cabaran mendatang sekali gus mengekalkan keamanan sedia ada.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab memastikan kelestarian keharmonian dan kemakmuran ini bertahan dalam satu ikatan perpaduan utuh selari dengan tema Hari Malaysia tahun ini iaitu Keluarga Malaysia,Teguh Bersama," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Bung Moktar berkata kesepaduan dan kesatuan hati rakyat Malaysia juga mampu menjadi perisai dalam membendung fahaman disebarkan segelintir golongan bersikap ekstremis yang mencetuskan suasana tidak aman, perpecahan dan menyemarakkan api perkauman demi kepentingan peribadi.
Justeru, beliau berkata penyatuan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama ' perlu dihayati dan difahami bagi membawa kemajuan bersama dalam aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas.
"Tanggal 16 Sept, Hari Malaysia, tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan. Ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik.
"Kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia," katanya sambil menambah wacana dan naratif benar mengenai sejarah pembentukan Malaysia perlu disemai terutama dalam kalangan generasi muda.
Beliau juga mahu generasi muda menyemai semangat patriotisme dan berakhlak baik serta menerapkan anjakan paradigma serta kepentingan ilmu bagi membolehkan golongan itu meneruskan agenda pembangunan negara pada masa depan.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia, Bung Moktar turut mengajak rakyat khususnya di Sabah menzahirkan kesyukuran atas nikmat perpaduan, keharmonian serta kestabilan negara ketika ini dan ia perlu dikekalkan.
Hari Malaysia peringkat negeri akan berlangsung pada malam esok di Padang Merdeka di sini dengan pelbagai acara menarik disusun bagi memeriahkan lagi sambutan.
-- BERNAMA
#Hari Malaysia #keharmonian #kesejahteraan #Bung Moktar Radin #Timbalan Ketua Menteri Sabah
;