Hari Malaysia: Ratusan individu berbusana sarung, retro 'serbu' Stesen Keretapi Ipoh

Aida Aziz
September 16, 2022 12:51 MYT
Ratusan individu berbusana tradisional Melayu menyertai program Keretapi Sarong 22 berkumpul di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh, di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seolah-olah kembali ke zaman silam, sarat dengan nostalgia seperti dalam filem klasik hitam putih P. Ramlee.
Tidak kurang juga mengembalikan kenangan watak Pak Maun yang dibawa oleh Allahyarham Mahmud June dalam filem Nasib Do Re Mi.
Itu gambaran tepat suasana di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh, di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, hari ini.
Kelihatan ratusan individu berbusana tradisional Melayu seperti kain sarung, baju kurung dan ada juga berpakaian lengkap mengikut tema retro.
Apabila diamati secara dekat, mereka sebenarnya mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun.
Menurut Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, program Keretapi Sarong 22 itu pertama kali dianjurkan di negeri ini, selepas Kuala Lumpur.
Ia dianjurkan bersama oleh Ipoh Social Club dan Locco.
Ujarnya, Stesen Keretapi Ipoh yang berusia lebih 100 tahun menjadi lokasi untuk menghimpunkan wakil dari utara Malaysia.
"Kami buat hebahan untuk tarik penyertaan orang ramai menerusi media sosial Instagram, Facebook dan sebagainya, Alhamdulillah ramai hadir.
"Keretapi Sarong 22 merupakan yang pertama dibuat di Ipoh. Bandar raya ini dijadikan lokasi bagi menghimpunkan wakil dari utara. Kita jalankan aktiviti di sini.
"Ramai yang hadir hari ini, bukan saja dari Perak, tetapi merangkumi negeri lain seperti Pulau Pinang dan Kedah.
"Acara ini berjalan serentak di Kuala Lumpur, dan beberapa lokasi lain yang terpilih," kata Deena ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Katanya, objektif program ini, yang menghendaki peserta memakai pakaian bertema sarung atau retro tahun 60-an hingga 90-an, adalah bagi mengembalikan warisan terdahulu.
Di samping itu, katanya, pakaian itu juga melambangkan semangat perpaduan antara kaum, yang bukan hanya dipakai kaum tertentu, tetapi juga oleh semua.
"Kami mahu menyatukan semua, tidak kira bangsa. Memang semua bangsa ada pakai sarung. Signifikan hari ini adalah, ia melambangkan perpaduan.
"Aktiviti kita hari ini termasuk bergabung dengan badan bukan kerajaan Dapur Jalan Ipoh, untuk menyampaikan pek makanan kepada gelandangan," katanya lagi.
Sementara itu, seorang peserta program, Mohd Sinar Ishak, dari Tanjung Rambutan, menyatakan keterujaan dapat turut sama memeriahkan sambutan hari ini.
"Saya teruja untuk berkumpul di sini, sambut Hari Malaysia. Sebelum ini saya memang ada terlibat dengan penganjuran sama di Kuala Lumpur.
"Saya dapat tahu ia dianjur di sini tahun ini, memang seronok. Tema saya pakai hari ini ialah orang kampung, macam Pak Maun, mengimbau semula zaman 70-an dan 80-an," katanya.
Seorang lagi peserta dari Kuala Lumpur, Nur Ruzaini Ruslan, hadir bersama anak perempuannya ke sini.
Nur Ruzaini memaklumkan, dia pernah beberapa kali menyertai program sama di Kuala Lumpur.
"Tahun depan mungkin boleh buat lebih meriah dan melibatkan lebih ramai peserta, di samping menarik minat lebih ramai dari bangsa lain.
"Rasa bersemangat pakai baju sebegini. Anak pun mahu sama sertai. Saya rasa gembira sangat. Adik lelaki saya pun ada sekali teman hari ini," katanya.
Semangat sama dikongsi oleh Nur Afieqah Ashmawi dari Chemor, yang hadir bersama rakannya seawal jam 7.30 pagi.
"Saya dapat tahu mengenai program ini daripada Instagram. Persiapan dilakukan memang saat akhir sebab kawan ajak teman ke sini.
"Kami juga boleh berkenalan dengan kawan baharu dari negeri lain, yang mana ramai di sini berkongsi minat sama.
"Pelancong yang datang ke stesen kereta api ini boleh lihat budaya dan pakaian tradisi kita," katanya lagi.
#Hari Malaysia #tema retro #Keretapi Sarong 22 #Ipoh
;