Hari Malaysia adalah masa untuk bersatu padu, muhasabah diri - Lee Lam Thye

Bernama
September 17, 2024 08:15 MYT
Lee berkata, sambutan Hari Malaysia adalah penting untuk menghidupkan semula semangat patriotik serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia yang diraikan semalam adalah masa terbaik untuk rakyat merenung kembali pembentukannya pada 16 Sept 1963 sebagai simbol perpaduan dan muhasabah diri.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata Sambutan Hari Malaysia hendaklah dijadikan sebagai kuasa yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah untuk sama-sama menuju ke arah matlamat dan kejayaan negara.
"Memandangkan 16 Sept 1963 adalah hari yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia, memperingati Hari Malaysia boleh membantu dalam menekankan kepentingan integrasi serantau serta etnik dan perpaduan.
"Semasa kita meraikan ulang tahun ke-61 pembentukan Malaysia dan Hari Kemerdekaan ke-67 bagi Tanah Melayu, adalah penting untuk merenung kembali usaha serta pengorbanan kita dalam pembinaan bangsa selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita," menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pembinaan bangsa adalah proses yang mencabar dan memakan masa serta menuntut kepimpinan yang baik dan teguh, persefahaman, kerja keras, pengorbanan serta komitmen dan perpaduan, justeru sambutan Hari Malaysia adalah penting untuk menghidupkan semula semangat patriotik serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Lee turut menekankan kepentingan Rukun Negara sebagai panduan bagi pembinaan bangsa dan hendaklah dihormati oleh semua pihak.
-- BERNAMA
#Lee Lam Thye #Hari Malaysia #patriotik #perpaduan
;