Hari Malaysia 2020: Sambutan secara sederhana, padat dengan mesej patriotisme
Syafik Shukri Jalil
September 16, 2020 08:02 MYT
September 16, 2020 08:02 MYT
Bumi Kenyalang sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020 dengan tema Malaysia Prihatin.
Jika tahun lalu Kuching menjadi tuan rumah, kini giliran Sibu menggalas tanggungjawab itu dalam suasana sambutan yang amat berbeza ketika dunia masih berdepan penularan pandemik COVID-19.
Sambutan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu itu akan diraikan dalam suasana normal baharu sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Walaupun dilangsungkan dengan sederhana, namun ia tetap padat dengan pengisian bermakna dalam mengenang sejarah pembentukan Malaysia secara rasminya pada 16 September 1963.
Untuk edisi tahun ini, jumlah tetamu dihadkan kepada 500 orang sahaja dan hanya tetamu yang diundang sahaja dibenarkan hadir sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Beberapa persembahan khas akan ditampilkan melibatkan slot pembukaan yang dimulakan dengan overture atau Regimented Dance Formation.
Persembahan ini membawa mesej perpaduan, kesatuan serta perasaan saling mencintai antara satu sama lain.
Seterusnya acara sambutan akan diteruskan dengan simbolik perasmian, persembahan tarian ekspresi Satu Jiwa, tayangan video khas 'Kita' yang memaparkan kisah lima sekawan yang hidup pada tiga zaman berbeza.
Selain itu acara bakal dimeriahkan dengan persembahan Pantun Bersahut yang bakal dipersembahkan oleh Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Stacy; persembahan Aspirasi Rakyat yang menyampaikan mesej aspirasi rakyat berbilang kaum di Malaysia dan Soul of Sarawak yang memaparkan kepelbagaian budaya di Sarawak yang menjadi tunjang kepada semangat jati diri masyarakat di sini.
Sambutan Hari Malaysia 2020 akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.
#Abdul Taib Mahmud
#COVID-19
#Hari Malaysia
#Ketua Menteri
#Muhyiddin Yassin
#normal baharu
#Perdana Menteri
#Shafie Apdal
#SOP
#video