Hari Kraf Kebangsaan 2023: 'Ini Kraf Malaysia' bantu golongan B40 jana pendapatan
Fareez Azman
Mac 6, 2023 14:52 MYT
Mac 6, 2023 14:52 MYT
KUALA LUMPUR: Hari Kraf Kebangsaan 2023 (HKK 2023) menampilkan pelbagai produk kraf tempatan dari seluruh negara di bawah satu bumbung.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali, penganjuran kali ke-20 yang bertemakan "Ini Kraf Malaysia" ini lebih unik dengan turut melibatkan usahawan kraf daripada golongan B40.
"Hari Kraf Kebangsaan adalah signature program Kraftangan Malaysia menerusi MOTAC, ini adalah penganjuran kali ke-20 di mana kita bermula pada tahun 2003.
"Penganjuran HKK ini satu program besar Kraftangan Malaysia mengumpulkan semua usahawan kraf di seluruh Malaysia di satu tempat.
"Ini satu platform di mana semua pengunjung boleh lihat dan merasai produk-produk itu sendiri dan mempelajari tentang produk kraf 'Ini Kraf Malaysia' itu sendiri yang juga tema HKK tahun ini," jelasnya.
Ujarnya, HKK 2023 disertai 550 usahawan seluruh negara dengan sasaran pengunjung lebih 185,000 orang sepanjang program itu berlangsung.
Selain pakaian batik dan tenunan, aksesori peribadi, beg serta kraf tangan berunsurkan rotan, makanan tradisional turut dijual kepada pengunjung.
Malah pengunjung turut didedahkan dengan demonstrasi pembuatan produk kraf menggunakan rotan, kayu, mengkuang, ribu-ribu, tekatan, dan manik.
"Sudah pasti HKK kali ini kita libatkan komuniti kraf di mana golongan B40 mereka ini kita bangunkan, ia satu sumber pendapatan bagi mereka.
"Mereka bangunkan produk kraf ini di kawasan tempat tinggal mereka, di kawasan pendalaman mahupun di bandar.
"Kita sedia tahu, kraf ini bukan setakat kegunaan harian tetapi juga sumber pendapatan kepada mereka dan menjana ekonomi kepada mereka," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut ujar Abdul Halim, pengunjung sudah pasti akan teruja melihat kraf tangan tempatan bercorak kotemporari serta moden yang boleh digunakan secara harian.
"Di Kraftangan Malaysia, kita bawa kraf tangan keluar daripada kebiasaan, kita tidak mahu persepsi yang mengatakan produk kraf tangan ini produk lama, yang hanya untuk dekorasi dan cenderamata.
"Tapi kita nak lihat produk kraf ini boleh dipakai harian. Dari sudut design, Kraftangan Malaysia juga bangunkan produk-produk baharu.
"Kita letakkan berfokus permintaan di dalam dan luar negara. Ini peluang memberi penjanaan ekonomi mereka dalam dan luar negara," katanya lagi.
HKK 2023 berlangsung selama 13 hari bermula 1 Mac lalu di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur dengan sasaran jualan sehingga RM16 juta.