Hari Kebangsaan: Tidak berkira hias rumah, kereta sejak 24 tahun lepas

Bernama
Ogos 14, 2024 05:00 MYT
M Kandapan menzahirkan semangat Hari Kebangsaan menerusi hiasan Jalur Gemilang, bendera Johor dan semua negeri di keretanya serta melekatkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - BERNAMA
JOHOR BAHRU: "Saya tidak pernah berkira untuk belanja banyak duit beli bendera kerana semangat cintakan tanah air ini tidak ternilai harganya," kata M Kandapan yang menghias rumahnya dengan ribuan Jalur Gemilang sejak 24 tahun lepas.
Warga emas berusia 64 tahun itu tidak asing lagi di Johor kerana kreativiti menjadikan rumahnya di Bandar Seri Alam di sini sentiasa menjadi sorotan dan perhatian orang ramai setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.
Tidak hanya rumah, Kandapan juga cukup terkenal dengan keretanya yang turut dihiasi Jalur Gemilang, bendera Johor dan semua negeri serta pelbagai pelekat imej bertemakan kemerdekaan termasuk wajah pemimpin negara.
"Tahun ini genap 24 tahun saya meneruskan kebiasaan menghias rumah dan kereta tiap kali sambutan Hari Kebangsaan daripada ratusan sehingga mencecah ribuan bendera dipasang.
"Cinta saya kepada negara tidak ternilai dan semangat untuk meraikan bulan istimewa ini tidak akan pernah luntur," kata bekas ahli perniagaan itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Bapa kepada lima cahaya mata itu yang enggan mendedahkan keseluruhan kos yang telah dilaburkan turut menjelaskan usahanya selama ini bertujuan menzahirkan rasa cinta serta perpaduan terhadap negara dan bukannya untuk meraih populariti.
Semangat patriotiknya juga tidak pernah luntur apabila mendedahkan tetap meneruskan tradisi tahunan itu dengan dibantu ahli keluarga dan jiran tetangga meski pernah diserang strok tiga tahun lepas.
Kandapan berkata tahun ini lebih 5,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz dipasang di rumah dan pelbagai imej seperti bunga raya dan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menghiasi kereta Proton X70 dan Proton Exora miliknya.
Justeru itu, beliau menyeru semua rakyat untuk turut sama menyemarakkan Hari Kebangsaan ini dengan memasang sekurang-kurangnya satu bendera di setiap rumah.
"Tidak kira berapa banyak bendera atau satu sahaja dipasang di rumah, sebenarnya yang penting ialah jiwa dan semangat sentiasa cintakan negara. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama harus menunjukkan semangat patriotik yang tinggi dan sentiasa bersatu padu," katanya. - BERNAMA
#Hari Kebangsaan #M Kandapan #Jalur Gemilang #kemerdekaan
;