Hari Kebangsaan: Semangat Perpaduan ini kita dambakan untuk Malaysia - PM Anwar
Fareez Azman
Ogos 31, 2023 16:14 MYT
Ogos 31, 2023 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada Khamis.
Menerusi catatan di Facebooknya, Anwar berkata kemeriahan serta semangat perpaduan yang ditunjukkan cukup luar biasa dalam menzahirkan rasa kecintaan kepada negara.
Justeru, semangat merdeka rakyat itu ujarnya perlu terus diperkukuhkan di setiap sanubari rakyat Malaysia.
"Usai Sambutan Hari Kebangsaan, saya dan Jemaah Menteri bersama mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketemu rakyat pelbagai kaum yang bersama dalam acara ini sedari semalam.
"Penghargaan saya buat semua yang membanjiri Dataran Putrajaya untuk sama-sama meraikan hari besar buat Malaysia dan kesatupaduan yang dipaculkan hari ini ternyata nilai Malaysia yang sebenar. Semoga semangat merdeka rakyat ini terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari rakyat Malaysia. Merdeka!," jelasnya.
Semangat setiap rakyat yang membanjiri Putrajaya sejak malam Rabu dan semua peserta yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 jelas Anwar lagi amat dihargai.
"Berhimpun di Dataran Putrajaya pagi tadi bersama pelbagai lapisan masyarakat bagi menzahirkan rasa kecintaan kepada negara serta mengenang detik kemerdekaan 31 Ogos 1957 dalam sambutan yang cukup luar biasa.
"Saya hargai semangat setiap rakyat yang membanjiri Putrajaya sedari lewat malam tadi untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara ini. Penghargaan juga buat semua yang terlibat dalam sesi perbarisan, pertunjukan udara dan persembahan sepanjang sambutan berlangsung.
"Semangat perpaduan seperti ini yang kita dambakan untuk Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang hebat. Hargailah kemerdekaan serta kedaulatan negara ini," kata Perdana Menteri lagi.
Lebih 100,000 rakyat hadir dalam sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada Khamis.