Hari Kebangsaan: Rasai kehidupan mangsa Perang Dunia Kedua menerusi VR
Aida Aziz
Ogos 20, 2023 07:30 MYT
Ogos 20, 2023 07:30 MYT
TAIPING: Selama ini ramai di antara kita didedahkan jerih perih pengalaman orang terdahulu berdepan cabaran ketika pendudukan penjajah menerusi pembacaan serta cerita dari mulut ke mulut.
Dengan teknologi terkini, anda boleh 'kembali' ke zaman Perang Dunia Kedua di negara ini, selain berpeluang menjiwai sendiri kehidupan seharian mereka yang terselamat menerusi virtual reality (VR) atau realiti maya.
Inisiatif untuk mengembalikan nostalgia sebelum negara mencapai kemerdekaan itu dipacu oleh Muzium Perak, Taiping dengan mendapat kerjasama sekumpulan penyelidik dari Universiti Pennsylvania State, Amerika Syarikat (AS).
Difahamkan juga teknologi VR yang digunakan menerusi pameran 'Malaysia Era Perang Dunia Kedua' ini adalah yang pertama di muzium negeri ini, selain mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkiflee, pameran yang berlangsung dari 19 Ogos hingga 31 September itu mempunyai daya penarik tersendiri bagi menambat hati orang ramai tentang sejarah serta warisan negara.
"Muzium Perak bekerjasama dengan Universiti Pennsylvania State, sekumpulan penyelidik dari universiti itu menghasilkan projek Sejarah Lisan Perang Dunia Kedua Malaysia dengan menggunakan komponen digital atau maya.
"Mereka telah menemu ramah seramai 20 orang mangsa yang terselamat ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar 1941-1945.
"Selain menggunakan kaedah konvensional, mereka guna teknologi VR untuk memperlihatkan sejarah masa suram kehidupan mangsa perang ketika itu.
"Ramai daripada mangsa yang terselamat itu berasal dari Taiping atau pernah tinggal di negeri Perak semasa perang itu tercetus," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya lagi, pengunjung yang hadir ke pameran itu dapat menggunakan sistem Oculus yang mampu melihat secara maya di tiga bahagian seperti ruang tamu, dapur dan luar rumah.
Mereka akan melihat gambaran menerusi VR, sebuah rumah pada tahun 1940-an iaitu sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
VR 360 darjah itu boleh dilayari menggunakan Oculus Meta Quest 2 dan VR mudah alih.
"Untuk bahagian sejarah lisan menggunakan VR memang ditaja oleh kumpulan penyelidik ini, terdapat montaj video termasuk temu bual lisan yang dijalankan oleh ketua projek iaitu Dr. Cheryl L. Nicholas antara tahun 2013 hingga 2017," katanya.
Perabot dan koleksi yang dipamerkan dalam rumah tersebut merupakan milik mangsa perang yang terbabit dalam projek itu.
Para pengunjung boleh bergerak secara maya di sekitar ruang yang disediakan, lalu klik pada objek yang dipaparkan dan akan muncul paparan montaj video pendek penceritaan mangsa perang.
Ditanya mengenai kesesuaian penggunaan teknologi VR di muzium, beliau berpendapat ia merupakan satu pendekatan terbaharu untuk memberi kefahaman lebih baik kepada umum.
"Saya difahamkan, untuk hari pertama pelancaran pameran itu, hampir 7,000 pengunjung tempatan dan luar negara hadir ke Muzium Perak.
"Kita harap bila teknologi ini telah diperluas, ia dapat diteruskan dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman," katanya lagi.
Perang Dunia Kedua berlaku pada tahun 1939 hingga 1945, Jepun menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941 dan memerintah selama tiga tahun lapan bulan.