Hari Kebangsaan: Persembahan 'cuci rasuah' jadi tumpuan, pengunjung teruja

Bernama
Ogos 31, 2024 11:10 MYT
Buat julung kalinya, peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah digunakan sebagai instrumen persembahan tarian bertajuk "Cuci Rasuah" pada sambutan Hari Kebangsaan. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Teruja selepas menonton klip video persembahan 'Cuci Rasuah' ketika raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024, mendorong Suzana Ibrahim bertolak seawal 12 tengah malam tadi dari Wangsa Maju, untuk hadir awal menyaksikan persembahan itu secara langsung di Dataran Putrajaya hari ini.
Bercakap kepada Bernama, penjawat awam berusia 44 tahun itu berkata persembahan khas itu amat dinanti-nantikan, kerana ia amat unik dan mempunyai mesej tersendiri.
"Banyak kali saya ulang tengok di aplikasi TikTok. Bila orang kongsikan pada hari raptai penuh, saya nampak peserta siap pakai baju warna oren, saya terus fikir kena pergi awal sebab nak tengok," katanya.
Senada dengan Suzana, Sarimah Mat Isa, 43, menyifatkan persembahan khas itu sebagai suatu yang bermakna sebagai usaha menyokong perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membanteras rasuah di negara ini.
"Bagi saya persembahan ini bagus, lebih-lebih lagi dipersembahkan dalam acara macam ni. Bukan senang nak banteras rasuah, jadi persembahan macam ni satu bentuk sokongan," kata ibu kepada dua anak itu.
Persembahan tarian bertajuk 'Cuci Rasuah' itu merupakan cetusan idea Pengarah Artistik dan Konsep bagi sambutan Hari Kebangsaan Rosnan Nordin, dijayakan 515 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), diiringi medley beberapa lagu patriotik yang disingkatkan menjadi muzik berentak rancak dan diikuti lagu baharu bertajuk 'Cuci Rasuah' hasil tulisan Rosnan bersama komposer Anuar Abdul Razak.
Semua peserta persembahan 'bertenaga' yang berlangsung selama kira-kira lima minit itu, menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah sebagai instrumen bagi menjayakan persembahan yang didedikasikan khas kepada perjuangan Perdana Menteri dalam memerangi amalan rasuah di negara ini.
Sementara itu, N.Navheena dari Negeri Sembilan berkata kehadiran julung kalinya untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan tidak sia-sia, kerana rasa bangga dapat turut serta dalam lautan manusia tidak kira kaum dan agama.
"Memang rasa lain dengan apa yang ditonton di televisyen dan secara fizikal di sini. Paling saya suka tengok aset udara," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka, Nilai itu.
Alex Low, 36, dari Sabah pula berkata beliau kebetulan berada di ibu negara untuk menghadiri sebuah konvensyen dan memutuskan untuk turut memeriahkan Hari Kebangsaan 2024.
"Saya fikir saya mesti gunakan peluang ini untuk hadiri perarakan Merdekan ketika saya di sini, oleh kerana ini kali pertama saya di Putrajaya, saya rancang lakukan beberapa aktiviti di kawasan ini hari ini," katanya.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #Cuci Rasuah #Dataran Putrajaya #JKKN