Hari Kebangsaan: Pengunjung diminta patuh peraturan, jaga disiplin

Bernama
Ogos 29, 2024 23:17 MYT
Aidi Sham berkata seramai 1,998 anggota dan pegawai akan terbabit dalam menjaga serta mengawal keselamatan semasa acara itu. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Orang ramai yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya Sabtu ini diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga tingkah laku sepanjang majlis berlangsung.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata seramai 1,998 anggota dan pegawai akan terbabit dalam menjaga serta mengawal keselamatan semasa acara itu.
"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya bersama menyambut Hari Kebangsaan 2024 dengan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan serta menjaga tertib," katanya kepada media pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Aidi Sham turut mengingatkan pengunjung agar sentiasa menjaga keselamatan masing-masing termasuk yang membawa anak-anak kecil sepanjang majlis berlangsung.
Selain itu, beliau berkata jalan utama menuju ke "Core Island" atau lokasi utama sambutan Hari Kebangsaan 2024 akan ditutup bermula 6 petang Jumaat ini dan menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan serta menaiki pengangkutan awam yang disediakan atau bermalam di tapak perkhemahan yang dibuka kepada umum di Taman Pancarona.
"Kita akan memastikan pergerakan dan aliran trafik tahun ini lancar dan orang ramai boleh datang awal dan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat yang ditetapkan," katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan "Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka" akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #aliran trafik #pengangkutan awam #lokasi utama