Hari Kebangsaan: Orang ramai teruja bergambar bersama aset tentera

Bernama
Ogos 31, 2023 14:48 MYT
Perarakan aset kontinjen Tentera Darat Diraja Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang bertemakan "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan" di Dataran Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pameran dan pertunjukan pelbagai aset pertahanan negara memukau lebih-lebih 100,000 pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.
Antara yang menjadi perhatian orang ramai ialah kenderaan perisai 'Armoured Recovery Vehicle' (ARV) yang didatangkan dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dan diparkir bersebelahan Wisma Tani.
Meskipun tidak terbabit secara langsung menyertai perarakan bersama aset-aset ketenteraan yang lain, ARV itu menjadi daya tarikan kepada orang ramai yang teruja menyentuh secara fizikal kereta kebal itu dan mengabadikan momen menggunakan telefon bimbit masing-masing.
'Askar cilik', Azri Nur Iman Hayqal Rino Amin, 8, yang berpakaian lengkap uniform tentera darat ketika ditemui Bernama berkata dia rasa seronok dapat mengambil gambar bersama kereta kebal dan dua anggota tentera, lantaran cita-citanya yang mahu menjadi tentera udara.
"Saya datang ke sini memang untuk menyaksikan perarakan ketenteraan sebab tahun lepas walaupun saya dan ibu ayah pergi ke Dataran Merdeka, (Kuala Lumpur) tapi tak berpeluang melihat tentera (secara dekat)," katanya kepada Bernama.
Pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2, Petaling Jaya itu berkata tahun sambutan tahun ini lagi hebat, kerana kawasan yang besar dan lebih meriah dengan kehadiran ratusan ribu pengunjung.
Pengunjung dari Johor Jackson Pang Mang Fook, 34, yang kebetulan sedang bercuti di Kuala Lumpur sempena cuti sekolah, sememangnya bercadang untuk membawa keluarganya ke Putrajaya untuk menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata ini kali pertama keluarganya menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan teruja dapat melihat pemimpin negara secara dekat.
Sementara itu, Amirudin Ramli, 37, berkata sepasang anaknya berusia tiga dan lapan tahun sangat seronok dan teruja melihat persembahan aset udara, seperti jet pejuang dan helikopter milik pelbagai agensi, walaupun perlu menunggu sehingga ke penghujung acara.
"Kami datang sini sebab nak tengok persembahan udara. Anak saya melompat kegembiraan bila helikopter melintas di atas kepala kami, berbanding maskot animasi yang kebiasaannya mengujakan kanak-kanak seusianya," katanya yang datang dari Mantin, Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #Dataran Putrajaya #kenderaan perisai #aset tentera
;