Hari Kebangsaan: Kehadiran 'askar Melayu, British' pramerdeka gamit ribuan pengunjung di Ban Pecah

Aida Aziz
Ogos 27, 2023 06:30 MYT
Badan bukan kerajaan (NGO) dari Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) menganjurkan pameran Perang Dunia Kedua dan Darurat di Ban Pecah. - Astro AWANI
PARIT BUNTAR: Kelibat beberapa individu berpakaian lengkap seragam askar Melayu dan British sewaktu Perang Dunia Kedua di lokasi tumpuan pelancong Ban Pecah, di sini menjadi tanya kepada para pengunjung.
Seolah-olah mereka berada pada zaman berlainan, ditambah dengan artifak sejarah dan basikal tua klasik yang menggamit kenangan silam.
Bila diamati secara dekat di dataran Ban Pecah, rupa-rupanya badan bukan kerajaan (NGO) dari Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) menganjurkan pameran Perang Dunia Kedua dan Darurat di situ.
Sambutan yang diterima daripada orang ramai sepanjang dua hari pameran itu berlangsung, begitu menggalakkan dengan lebih 1,000 pengunjung ke reruai artifak sejarah.
Malah boleh dikatakan semua mata tertumpu kepada artifak sejarah yang dipamerkan sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66, tidak kurang juga ramai yang mahu berswafoto bersama para penganjur.
Lari daripada kebiasaan, Pengerusi MHG, Shaharom Ahmad memaklumkan, wakil penduduk di kawasan Ban Pecah menjemput pihak mereka untuk menganjurkan pameran tersebut pada Sabtu dan Ahad lalu.
Jelasnya, ia sekali gus menjadi serampang dua mata bagi kedua-dua pihak memberi ilmu pengetahuan tentang sejarah negara di samping mereka bercuti bersama-sama keluarga.
"Kita pamerkan barang artifak ketika Perang Dunia Kedua dan zaman darurat. Termasuk pakaian tentera yang dipakai pada zaman tersebut. Malah kita sendiri berpakaian seragam askar pramerdeka.
"Ada yang berpakaian Askar Sukarelawan Negeri Melayu dan askar British waktu Perang Dunia Kedua termasuk Tentera Darat Malaysia pada tahun 1969 hingga 1980-an.
"Masyarakat setempat dan pengunjung bukan saja dapat melihat dari dekat artifak tersebut tetapi kita turut memberi penerangan lanjut tentang situasi zaman peperangan di Tanah Melayu.
"Bagus untuk pengunjung tambah ilmu, ditambah pula permulaan cuti sekolah, jadi memang penuh dengan pengunjung dan anak-anak pun didedahkan dengan sejarah negara," katanya ketika ditemui di sini.
Jelas Shaharom lagi, tujuan persatuannya mengenakan pakaian seragam lama ketenteraan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai secara nyata.
Di samping itu, ia mampu mengimbau nostalgia kepada veteran dan keluarga bekas tentera.
"Kami juga dapat berkongsi cerita dengan generasi terdahulu dan bekas tentera yang datang bagaimana pengalaman mereka bertugas sebagai tentera zaman darurat.
"Malah ramai pengunjung yang datang memang tak sangka ada dianjurkan pameran sebegini di sini, nampak mereka teruja dengar penerangan tentang artifak sejarah.
"Artifak itu memang dari koleksi kami sendiri lebih 30 tahun dan ada sebahagiannya kami cari daripada bekas tentera serta kedai-kedai lama," katanya lagi.
Mengulas lanjut berhubung kelangsungan pameran berasaskan celik sejarah itu, beliau berkata selepas ini mereka akan bergerak ke sekolah-sekolah berdasarkan jemputan yang diterima.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada generasi muda khususnya tentang kepentingan menghayati erti kemerdekaan, kerana ia bukanlah mudah dikecapi.
"Betapa banyak konflik yang pejuang negara terdahulu hadapi, dengan pertumpahan darah demi mendapatkan secebis kemerdekaan.
"Kita berharap mereka cakna tentang apa itu merdeka, jangan leka dan lalai dengan apa yang kita ada sekarang. Takut kita akan dijajah dari segi minda dan fahaman pula," katanya.
#Hari Kebangsaan #askar melayu #Perang Dunia Kedua #darurat
;