Hari Kebangsaan: Abang bomba tetap jadi perhatian, bawa plakad buat penonton 'merah pipi'
Astro Awani
Ogos 31, 2023 14:34 MYT
Ogos 31, 2023 14:34 MYT
PUTRAJAYA: Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, segmen perarakan dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan adalah antara yang paling dinanti.
Jika tahun lalu, kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapat perhatian sehingga tular di media sosial, tahun ini nampaknya 'abang bomba' masih menjadi pujaan hati ramai.
Ia jelas apabila kontinjen ini menerima sorakan paling gemuruh penonton yang menyaksikan secara langsung di Dataran Putrajaya.
Malah media sosial juga sudah mula meriah dengan gambar dan video yang dimuat naik orang ramai.
Lebih menarik, kontinjen ini lebih bersedia tahun ini apabila turut membawa bersama beberapa plakad tertulis beberapa ayat seperti "api memang panas tapi kamu semua penyejuknya" dan "abang bomba love you" sehingga ramai yang 'jatuh hati' dan 'blushing' (merah pipi) dibuatnya.
Netizen juga menyifatkan populariti kontinjen bomba bukan sekadar terletak pada faktor 'abang-abang sado', tetapi juga kerana gelagat mereka yang mesra dan tidak kekok melayan kehendak penonton.
"Patutlah popular tiap-tiap tahun. Rajin melayan para peminat abang dan kakak bomba semua," kata pengguna Twitter, @IniAlalalann.
Turut mendapat perhatian tahun ini ialah kontinjen Maxis yang membawa maskot green dinocorn gergasi, persembahan Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, anjing-anjing pengesan dari Unit K9 PDRM dan JBPM yang tampil memakai kasut serta persembahan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan.