Hari Kebangsaan 2022: Pengorbanan 'frontliners' buat pengunjung sebak
Fareez Azman
Ogos 31, 2022 14:55 MYT
Ogos 31, 2022 14:55 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka di ibu negara pada Rabu dilihat mendapat sambutan luar biasa daripada warga ibu kota.
Rata-rata pengunjung dilihat sebak melihat frontliners (kakitangan barisan hadapan) dalam perarakan yang berlangsung sejak jam 8.00 pagi.
Bagi Nurul Sheriena, 36, beliau sebak melihat setiap frontliners yang mengambil bahagian mengenangkan pengorbanan mereka berjuang ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak dua tahun lalu.
"Terasa sedih dan sebak bila tengok frontliners lalu depan tadi. Sebenarnya ini kali pertama sebab bawa anak (hadir) melihat perbarisan.
"Sebab kita nak menceritakan semangat merdeka ini selepas dua tahun tak pergi tengok aktiviti ramai-ramai macam ini, memang pengalaman berharga untuk anak kita bila tengok perbarisan muzik depan-depan, nak melahirkan rasa kemerdekaan itu," jelasnya.
Perasaan sama dikongsi Abdillah Abdul Shukor, 41, yang hadir di Dataran Merdeka sejak jam 7.00 pagi bersama isteri dan dua anaknya.
Ujarnya, selain frontliners, keharmonian pelbagai kaum di Malaysia dapat dicerminkan dalam acara itu.
"Saya sayang Malaysia, Malaysia adalah tanah air memang tidak ada galang ganti.
"Saya nampak best sebab ada macam-macam kaum ada Cina, India dan Melayu, memang kita rasa kita ni Malaysian, cuma masa ni je kita boleh nampak macam ini sebenarnya," katanya.
Sementara itu, bagi Eleanor Kang, 24, berkata dia teruja untuk melihat sendiri perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2022 meskipun terpaksa bangun seawal jam 6.00 pagi.
Baginya, acara seumpama itu memberi satu pengalaman baharu buatnya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kewujudan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
"Saya rasa teruja dengan perarakan ini, sebab ada yang ditunjukkan beberapa jabatan yang memang tidak pernah saya ketahui.
"Contohnya macam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang sebelum ini saya tidak tahu ada lagi agensi di bawahnya. Ini pertama kali saya hadir perarakan macam ini, selalu hanya menonton di televisyen sahaja," katanya.
Setiap kali perbarisan, pancaragam mahupun perarakan kereta berhias dan aset agensi kerajaan melintasi laluan di hadapan Dataran Merdeka, sorakan gempita diberikan oleh pengunjung.
Ternyata Jalur Gemilang di tangan pengunjung juga tidak berhenti dikibarkan bagi memberi semangat kepada setiap peserta yang terdiri daripada orang awam dan penjawat awam.
Pemerhatian Astro AWANI sejak jam 4 pagi, ramai pengunjung mula beratur untuk mendapatkan tempat duduk disediakan penganjur.
Jam 5.00 pagi, hampir 90 peratus tempat duduk telah dipenuhi pengunjung meskipun acara hanya bermula pada jam 8.00 pagi.