Hari Kebangsaan 2022: Pengacara 'otai' teruja kembali beraksi di Dataran Merdeka
Bernama
Ogos 30, 2022 11:30 MYT
Ogos 30, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pengacara 'Otai' bagi sambutan Hari Kebangsaan tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas setelah dua tahun tidak mengacarakan acara itu di Dataran Merdeka akibat pandemik COVID-19.
Saifulkhairi Ahmad, 51, yang terlibat dalam mengacarakan perarakan Hari Kebangsaan selama 12 tahun berkata sememangnya beliau teruja untuk kembali beraksi dan menjangkakan sambutan yang meriah pada tahun ini.
"Dua tahun tak berada di Dataran Merdeka, rasa seperti mimpi di siang hari dapat kembali beraksi, dapat bersama kembali dengan rakan-rakan pengacara Pang Chin Fei, Terrence Dass dan juga ahli baharu kami Geegee Ahmad, ini merupakan satu perkara yang mengujakan.
"Pada saya, semangat tu tak pernah kurang, saya sendiri menanti-nantikan bulan Ogos ini, saya kira kalau kita tengok kemeriahan di ibu kota sendiri, Jalur Gemilang tetap berkibar di sepanjang laluan kalau saya dari rumah nak pergi ke pejabat tu memang nampak," katanya kepada Bernama.
Saifulkhairi yang juga penulis skrip pengacaraan sambutan itu turut menyeru agar orang ramai hadir dan memeriahkan acara berkenaan esok (Rabu) agar dapat menghayati erti kemerdekaan.
"Saya menyeru kepada semua warga kota ataupun penduduk di Lembah Klang, juga penduduk di seluruh negara kita agar sambut sebaiknya hari kemerdekaan, hargai apa itu hari kemerdekaan.
"Nilaikan kemerdekaan yang kita kecapi dengan negara jiran kita, bagaimana mereka mengecapi kemerdekaan dan fikirkan apa sumbangan kita kepada negara selepas itu," katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen utama negara dan bakal menyaksikan penyertaan kontinjen perbarisan daripada badan beruniform dan korporat.
-- BERNAMA