Hari ke-3: Operasi pengusiran di Felda Sahabat 17 diperluas

Aizat Sharif
Mac 7, 2013 12:33 MYT
Operasi pengusiran yang dikenali sebagai Operasi Daulat yang dijalankan oleh pasukan keselamatan negara telah memasuki hari ketiga dengan memfokuskan zon krisis di Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
Beberapa kawasan di Kampung Tanduo yang menjadi tempat persembunyian pihak pengganas masih dikategorikan sebagai ‘zon merah’ dan orang ramai tidak dibernarkan masuk.
Dipercayai lebih kurang jam 9.15 pagi tadi, terdapat insiden tembak menembak di Kampung Tanduo dimana sebarang kecederaan semasa insiden tersebut masih belum diketahui.
Beberapa jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar di ruang udara Lahad Datu tetapi tiada serangan udara dilaporkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan akan melawat Lahad Datu hari ini bagi memantau perkembangan Operasi Daulat.
Semasa operasi pengusiran yang dijalankan pada 6.45 pagi semalam, pasukan keselamatan terlibat dalam satu pertempuran dengan pengganas dari Tentera Diraja Sulu yang menyebabkan seorang pengganas terbunuh.
Dengan perkembangan ini, operasi bersama antara pihak polis dan pihak tentera telah diperluaskan lagi kepada empat kilometer kaki persegi di sebuah ladang kelapa sawit disitu.
Intipati penting pada hari tersebut adalah pengumuman yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai sebuah tapak perkuburan yang luas dimana sembilan mayat pengganas ditemui tertanam disitu.
Menurut laporan, mayat-mayat tersebut merupakan pengganas yang maut semasa berhadapan serangan dengan pihak pasukan keselamatan Jumaat lalu.
Rakan seperjuangan pengganas yang maut tersebut dikatakan cuba menanam mayat rakan mereka tanpa pengetahuan pasukan keselamatan.
Satu kejadian mengerikan berlaku lebih kurang jam 1.45 petang apabila unit forensik polis and unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diserang semasa mereka sedang meneliti mayat dan kubur yang dijumpai tersebut.
Walaubagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat dan serangan balas oleh pasukan keselamatan pada masa itu berjaya membuat pihak pengganas berundur ke lokasi lain yang tidak dapat dikesan di kawasan tersebut.
Setakat ini seramai 13 penceroboh bersenjata dipercayai telah terbunuh dan operasi pengusiran besar-besaran juga diperluaskan ke lokasi lain di Tanjung Batu.
#hari ketiga #operasi daulat
;