Hari ke 10 Ops Daulat
Astro Awani
Mac 14, 2013 23:40 MYT
Mac 14, 2013 23:40 MYT
Hari ke 10 Ops Daulat sepi tanpa pertempuran. Namun demikian, operasi menjejak saki-baki penceroboh Sulu di Sabah masih diteruskan. Berikut adalah turutan peristiwa di Lahad Datu hari ini.
- Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang lelaki yang membawa bungkusan yang mengandungi dua bilah pedang samurai serta tiga parang panjang ditahan oleh pihak polis semasa suatu sekatan jalan di Jalan Tanjung Labian, Lahad Datu kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak pengganas.
- Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung isu Lahad Datu.
- Tian Chua, 50, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat.
- Mohamad Sekeri membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 April depan untuk sebutan kes.
- Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata seramai 35 pengikut waris Jamalul Kiram III yang ditahan di Filipina semalam akan didakwa di mahkamah negara itu dalam masa terdekat.
- Ahmad Zahid juga berkata Gazmin telah memberi jaminan bahawa Filipina akan memberi kerjasama jangka masa panjang untuk menyekat orang-orang mereka daripada memasuki perairan Malaysia secara haram.
- Ahmad Zahidi turut berkata budaya membalas dendam yang terpupuk dalam diri masyarakat di selatan Filipina sejak ratusan tahun dahulu memungkinkan tragedi berdarah di Lahad Datu berulang kembali pada masa hadapan.
- Sementara itu, Kementerian Pertahanan juga diumumkan akan kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).
- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata negara berada di landasan betul apabila melakukan serangan ofensif terhadap pengganas Sulu.
- Beliau juga berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.
- Juga, Kementerian Kesihatan mengumumkan akan menyediakan sebuah hospital bergerak terletak di Felda Sahabat, Lahad Datu bagi menampung keperluan dan perkhidmatan kesihatan di zon konflik itu.