Hari Kanser Sedunia: KKM komited lindungi pesakit kanser sewaktu pandemik COVID-19

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 4, 2021 11:33 MYT
Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin terhadap kesihatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit kanser di negara ini terutamanya sewaktu pandemik COVID-19.
Ini kerana menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius.
"Oleh itu, KKM telah mengambil langkah-langkah kawalan yang ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan semasa janji temu dan rawatan pesakit kanser.
"KKM juga memastikan semua pesakit kanser menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan.
"Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser," katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Hari Kanser Sedunia.
Ini kerana, pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.
Bagaimanapun, peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (stage III dan IV) meningkat dari 58.7% pada 2001-2011 kepada 63.7% pada 2012-2016. Situasi ini katanya adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
Tambahnya lagi, KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma.
Perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu.
Hari Kanser Sedunia tahun ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini.
Pesanan KKM kepada semua:
(i) Jadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat;
(ii) Segera menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser;
(iii) Jalani ujian saringan kanser yang telah disediakan;
(iv) Dapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan.
#Dr Noor Hisham Abdullah #SOP #KKM #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #kanser #hari kanser sedunia
;