Hari Ibu: Penghargaan istimewa buat petugas barisan hadapan wanita - Zuraida
Bernama
Mei 10, 2020 21:24 MYT
Mei 10, 2020 21:24 MYT
Sambutan Hari Ibu tahun ini, selain sebagai penghargaan kepada golongan ibu, patut didedikasikan kepada petugas barisan hadapan wanita yang berusaha memerangi ancaman COVID-19, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata 65 peratus petugas barisan hadapan dalam sektor perubatan adalah wanita.
"Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di hospital dan titik panas jangkitan, selain perlu berjauhan dengan ahli keluarga seterusnya meletakkan diri dalam risiko dijangkiti virus itu.
"Oleh itu, saya ingin mendedikasikan hari ini buat mereka. Wanita yang menyelamatkan negara, dikaulah ratu hati kami," katanya dalam kenyataan perutusan Hari Ibu, pada Ahad.
Tambah Zuraida, penularan wabak berkenaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memerlukan kebanyakan ibu berhadapan perubahan dalam rutin harian mereka, seperti perlu bekerja dari rumah dan pada masa sama menguruskan rumah tangga.
"Kita tidak mungkin dapat membalas setiap pengorbanan ibu dengan segunung emas dan selautan intan.
"Walau berat tanggungjawab yang digalasnya, ibu tidak pernah mengharap apa-apa balasan daripada anak-anaknya, itulah kasih seorang ibu," katanya
Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan merakamkan salam dan pujian kepada semua ibu di seluruh negara dan dunia atas kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak-anak.
"Justeru, tanpa mengira bangsa dan agama, hormatilah dan sanjungilah semua ibu. Dalam bulan yang mulia ini, marilah kita berdoa agar Allah memberikan kemudahan dan kebahagiaan buat ibu-ibu kita di dunia dan akhirat," katanya.
-- BERNAMA