Hari Ibu, Aidilfitri: Kerinduan berganda si ibu di kampung
Shuhada Abdul Kadir
Mei 7, 2021 07:49 MYT
Mei 7, 2021 07:49 MYT
MASJID TANAH: Menghabiskan masa bersama anak tercinta apatah lagi apabila sedang meniti usia senja menjadi impian setiap insan bergelar ibu.
Namun, meraikan sambutan Hari Ibu serta Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi nyata memberi kesan kerinduan berganda kepada seorang ibu tunggal, Azizah Abdullah, 70, apabila kerajaan masih belum membenarkan anak perantau pulang ke kampung halaman.
Menceritakan rasa sayu itu, Azizah yang mesra disapa ‘Mak Long’ tinggal seorang diri di rumah pusaka keluarganya di Kampung Ramuan China Besar, Melaka selepas kematian suami lebih 10 tahun lalu.
Katanya, jika sebelum ini, anak tunggalnya yang kini menetap di Johor Bahru itu seringkali pulang ke Melaka untuk menziarahinya.
Namun situasi itu berbeza disebabkan pandemik COVID-19 dan hanya panggilan video menjadi perantara bagi melepaskan kerinduan.
Ujarnya, hati ibu mana yang tidak sayu apabila tahun ini sekali lagi terpaksa beraya seorang diri dan hanya mengharapkan ihsan saudara mara serta jiran tetangga memandangkan anaknya masih tidak dapat merentas negeri.
“Cuma bila sampai masa tu, kita rasa sedih sikitlah tengok kita seorang, ada orang anak ada balik, macam kita tak ada.
“Kita tempat jauh, kena rentas negeri, tak boleh. Kalau daerah tu mungkinlah boleh balik kejap-kejap. Nak buat macam mana, harungkan sahaja,” ujarnya penuh kesayuan.
Dalam pada itu, kata Azizah, meskipun tahun ini sekali lagi terpaksa beraya seorang diri selepas berdepan situasi sama tahun lalu, dia reda demi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 memandangkan kawasan kediaman anaknya di Johor Bahru kini berada dalam zon merah
“Pada pendapat Mak Long kalau ikutkan hati memanglah, tapi kita berkorban jugalah, sekurangnya terpaksa kita tolak ansur.
“Kalau ikutkan hati kita tak boleh, fikir tu sahaja. Umur kita dah macam ni, kesihatan nak jaga juga,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan, sekali gus umat Islam tidak boleh ‘balik kampung’ untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 13 Mei ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pula berkata, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga 17 Mei ini atau sehingga tarikh lain diputuskan kelak.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri dilaporkan di beberapa negeri sejak April lalu.
#Hari Ibu
#hari raya
#Aidilfitri
#Azizah Abdullah
#balik kampung
#Kampung Ramuan China Besar
#Melaka
#Johor Bahru
#COVID-19
#rentas negeri
#PKP
#perintah kawalan pergerakan