Hari Hutan Antarabangsa: Tiada lagi pembalakan haram, kini semuanya pembalakan 'halal'- Presiden PEKA

Rahimah Abdullah
Mac 21, 2021 08:37 MYT
Saban tahun, ada sahaja aduan baik dari penduduk tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang membantah aktiviti berkenaan daripada terus rakus meragut khazanah bumi. - Foto Fail
KUALA LUMPUR: Isu penebangan hutan bukan suatu perkara baharu di negara ini.
Saban tahun, ada sahaja aduan baik dari penduduk tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang membantah aktiviti berkenaan daripada terus rakus meragut khazanah bumi.
Semakin dibincangkan perkara ini, ia seakan tidak menemui titik noktahnya, apatah lagi 'suara-suara kecil' itu seolah-olah tidak dipandang serius pihak-pihak yang berwajib.
Pokok terus ditebang, bukit ditarah dan habitat haiwan liar mula terganggu.
Namun, sekurang-kurangnya negara masih ada NGO-NGO alam sekitar yang tetap memperjuangkan kepentingan hutan.
Mereka tidak pernah duduk diam membantah apa yang dilakukan 'penjahanam' khazanah negara.
Hutan Kita Semakin Kritikal
Bagi Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, beliau melihat hutan negara di tahap kritikal apabila aktiviti penebangan pokok-pokok terus berleluasa.
"Ramai yang bercakap tetapi tindakannya tak banyak. Kalau ada tindakan pun untuk syok sendiri sahaja dan tidak serius. Apa yang saya tengok, tiada usaha yang serius dari mana-mana kerajaan, baik kerajaan pusat sehingga ke kerajaan negeri.
"Sangat menakutkan apabila hutan kita ini di tahap kritikal dan juga care for the environment is still last on the list in terms of preservation. Jadi ia masih lagi di tahap rendah. Selagi Akta Perhutanan tidak ditukar, pada saya mustahil kita nak selamatkan khazanah alam terutama hutan kita yang sangat cantik. Kita mesti tahu hutan kita yang tertua di dunia, lebih tua dari Amazon," katanya kepada Astro AWANI.
Malah, ketika ini tiada lagi istilah pembalakan haram, namun pembakalan yang 'dihalalkan' pihak berkuasa.
"Semuanya pembalakan halal yang boleh dihalalkan pihak-pihak berkuasa. Jadi kalau mereka nak tebang 200 hektar, 300 hektar, mereka akan tebang dan tidak kisah kalau itu kawasan tadahan air atau sebaliknya. Mereka tidak kisah kerana everything is about the money. It's a very short term cash.
"Maknanya wang tunai yang mereka dapat on the spot. Jadi tiada yang saya nampak pemimpin-pemimpin kita berusaha nak menyelamatkan khazanah alam apa yang tinggal sedikit ini, daripada semua negeri-negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," jelasnya lagi.
Hutan Difikirkan Hanya Sebagai Lubuk Duit
Undang-undang berkaitan juga didakwa tidak memihak kepada alam sekitar, namun ia lebih memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu untuk menghalalkan aktiviti berkenaan.
"Saya juga tengok segelintir pemimpin-pemimpin kita ini tidak tahu menilai khazanah alam yang kita ada kerana sifat tamak haloba mereka yang maksimum.
"Mereka selalu fikir hutan ini sebagai lubuk duit, mereka tidak fikir hutan ini adalah asas kehidupan kepada semua makhluk di dunia ini. Itu yang saya bimbang sekarang ini, sebab ia semakin teruk," ujarnya.
Pemimpin politik juga didakwa lebih mementingkan keuntungan berganda berbanding menanam sikap memelihara kepentingan hutan.
"Memang kita bergantung kepada ahli politik sekarang, sebab sekarang ahli politik, apa yang saya tengok mereka lebih kepada pembangunan, bagi mereka hutan ini tidak penting. Mereka tidak faham sebenarnya kenapa hutan itu sangat penting," kata Shariffa Sabrina.
Bukan sahaja di Pahang, hutan di Kelantan juga didakwa semakin hancur.
Malah, ketika ini, penebangan hutan semakin berleluasa di Kedah dan Perak.
"Yang tinggal, Terengganu sahaja yang masih mempunyai banyak hutan mungkin kerana mereka ada minyak, tetapi walaupun ada minyak namun pembalakan masih juga berlaku di Terengganu.
"Jadi ia bergantung kepada ahli politik kita dan juga saya rasa sedih kerana ramai guna 'kabel' atasan, dan pihak-pihak Istana, jadi ramai tidak berani bersuara kerana pihak Istana juga mempunyai kuasa untuk membalak apa yang mereka suka. Ini yang saya sedih sebab sepatutnya merekalah sebagai pelindung kepada khazanah alam kita," ujar beliau.
Dengan sikap alpa sesetengah pihak, hutan dibimbangi bukan lagi sebagai pelindung dan negara terus diancam bencana alam seperti banjir besar dan pemanasan global yang tidak berkesudahan.
"Saintis juga tidak menafikan pembukaan hutan yang berleluasa akan mendatangkan banyak penyakit dan paling mustahak sekali kawasan tadahan air kita akan musnah kerana semua air datang dari sungai dan sungai datang daripada pokok-pokok di hutan.
"Jadi apabila pokok-pokok tiada, akan berlaku banjir, tanah runtuh, kepanasan yang teruk, dan macam-macam lagi. Makin kita bercakap tentang pentingnya menjaga hutan, makin rancak mereka membalak." ujarnya.
Penebangan Hutan Rancak Ketika PKP
Malah, aktiviti pembalakan tidak pernah sunyi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Apabila pihak NGO mahu 'memantau' aktiviti penebangan pokok itu, mereka mendakwa disekat dan tidak dibenarkan memasuki hutan.
"Saintis sudah cakap penyakit akan datang kalau kita banyak memusnahkan alam kita. Itu yang macam-macam penyakit datang.
"Sepanjang pandemik , MCO, CMCO, pembalakan masih rancak dijalankan di semua negeri. Mereka diberi keutamaan beroperasi. Baru-baru ini saya nak masuk hutan pun tak diberi permit," tambahnya.
Berkesankah Aktiviti Penanaman Semula Anak Pokok?
Tidak dinafikan, kerajaan giat melakukan aktiviti penanaman semula anak-anak pokok untuk pemeliharaan dan pemuliharaan semula hutan negara.
Namun, aktiviti berkenaan tidak akan berkesan dan sia-sia, jika aktiviti pembalakan tidak terus dikawal.
"Kempen menanam semula anak pokok itu adalah kempen yang positif dilakukan kerajaan. Walaupun kerajaan sudah tanam beratus juta pokok, tetapi nak tanya juga bagaimana ia berkesan jika pembalakan terus berlaku di semua negeri yang masih mempunyai hutan, pembalakan masih rancak dan agresif. Pokok hutan ini mengambil masa beratus tahun untuk matang.
"Kita lihat lebih banyak ditebang hutan-hutan dari ditanam. Banyak spesis pokok pupus, haiwan juga pupus, gajah kita setiap hari kena langgar, tapir kena langgar, banyak haiwan liar mati," katanya lagi.
Aktiviti penanaman pokok secara rambang juga disifatkan tidak boleh menggantikan hutan yang didakwa dibuka secara 'cuci mangkuk'.
"Jadi aktiviti penanaman pokok secara rambang ini tidak boleh menggantikan hutan kita yang telah dibuka secara cuci mangkuk. Sekarang ini hutan-hutan dibuka secara cuci mangkuk," tambahnya.
"Dulu mula dengan getah lepas tu kelapa sawit, dan sekarang pula Musang King. Itu kita faham untuk memberi kegiatan ekonomi kepada setiap negeri. Namun kita kena tahu macam mana nak balance. Jangan terlampau banyak sangat sifat tamak kita, kita nak buat duit lebih dan kita nak hancurkan khazanah alam kita, itu tidak betul sama sekali," ujar beliau.
Kini semuanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk bukan sahaja mendengar, namun perlu diselangi dengan tindakan tegas terhadap aktiviti penebangan hutan.
Kalau tidak kita yang menjaga khazanah negara yang tertua di dunia ini, hendak harapkan siapa lagi?
Semuanya untuk manfaat generasi akan datang.
Selamat Hari Hutan Antarabangsa.
#aktiviti pembalakan #penebangan hutan #undang-undang #pembalakan halal #Malaysia #PEKA #NGO #alam sekitar #selamatkan #hutan negara #banjir #haiwan mati #tanah runtuh #pemanasan global
;