Hari Harimau Sedunia: Pupuskan pemburu haram, demi Harimau Malaya

Azizul Azwa
Julai 29, 2024 12:23 MYT
Terdapat pemburu haram datangnya dari luar negara, untuk membunuh dan merompak khazanah kita, akhirnya menjadi jutawan segera - Gambar WWF-Malaysia
GERIK: [Laporan ini siri terakhir sempena Hari Harimau Sedunia 2024]
Kalau di Malaysia, spesis paling dikenali ialah Harimau Malaya.
Kajian terbaharu WWF, faktor kepupusan terbesar kepada Harimau Malaya ialah pemburu haram.
Seolah-olah, kalau dapat banteras pemburu haram, maka kita dapat menyelamatkan Harimau Malaya.
Setakat ini, tidak sampai 200 ekor Harimau Malaya yang masih ada.
Malaysia pernah memiliki 3,000 ekor harimau pada tahun 1950.
Kajian WWF pada tahun 2018, populasi harimau merudum 50 peratus hanya tempoh tujuh tahun.
Segala tindakan perlu dilakukan bagi mengelak kepupusan seperti yang berlaku pada spesis Harimau Bali dan Harimau Jawa di Indonesia, serta Harimau Kaspian di Turki, Iran dan Asia Tengah.
Tiga spesis harimau berkenan sudah pun lenyap di muka bumi.
Menyelamatkan Harimau Malaya, juga bermakna kita menyelamatkan haiwan lain kerana harimau dikenali sebagai - 'Umbrella Species'.
Harimau memerlukan kawasan luas sehingga 100km persegi bagi seekor harimau.
Masih ramai yang tidak tahu, ada pemburu haram datangnya dari luar negara, untuk membunuh dan merompak khazanah kita, akhirnya menjadi jutawan segera.
Selain itu, wujud faktor kelompongan, sebagai contoh di Hutan Royal Belum, masih banyak kelemahan yang perlu diatasi dalam usaha melupuskan pemburu haram, termasuk si tali barut rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Program Pemuliharaan Harimau WWF, Azlan Mohamed kebanyakan pemburu luar negara dipercayai dari Vietnam dan Kemboja.
Dikenali sebagai penjenayah alam, kumpulan ini kebiasaannya mendapat bantuan daripada orang tengah, yang didakwa bertanggungjawabmenguruskan kemasukan mereka.
"Orang tengah akan membawa pemburu haram dan meletakkan mereka lokasi tertentu dan pemburu haram memasuko hutan berjalan kaki.
"Selepas dua minggu, pemburu haram akan menghubungi orang tengah untuk mengambil mereka di lokasi yang sudah ditetapkan," katanya.
Walaupun kawalan ketat pihak berkuasa seperti Perhilitan, polis, tentera dan pihak berkuasa mewajibkan syarat mendapatkan permit, tetapi masih ada lokasi yang mudah dibolosi.
Kebanyakan pemburu haram masuk melalui selatan kerana di bahagian utara ada kawalan ketat daripada pihak taman negeri.
Bagi petugas WWF, mereka tiada kuasa untuk menangkap pemburu haram dan hanya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terserempak di hutan.
''Satu lagi kaedah pemburuan melalui bot. Dari segi kawalan di bahagaian taman negeri, kawalannya agak ketat. Mahu masuk pun kena ada permit, kalau tiada permit memang tidak dibenarkan masuk. Namun di bahagian selatan kawalan agak longgar,'' katanya.
Menurut Azlan lagi, pemburu haram, biasanya menggunakan dua kaedah untuk menangkap harimau, sama ada menembak atau menggunakan jerat.
''Biasanya jerat haiwan ni akan semakin menjerut lah, semakin kuat binatang meronta, jerut akan semakin kuat, sehingga mangsa terputus kaki," katanya.
Sekiranya terkena jerat memang mustahil mangsa dapat meneruskan hidup kerana jerat tetap terikat dan lama-kelamaan mati akibat kecederaan.
#harimau Malaya #WWF-Malaysia #pemburu haram #jutawan segera