Hari Hak Asasi Manusia 2017: Malaysia terus perjuangkan kesederhanaan
Bernama
Disember 9, 2017 04:15 MYT
Disember 9, 2017 04:15 MYT
Malaysia mahukan isu-isu yang berkaitan hak asasi manusia di semua negara ditangani melalui pendekatan berasaskan dialog membina dengan menghormati prinsip kedaulatan dan tanpa campur tangan asing.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan sempena Hari Hak Asasi Manusia 2017 berkata sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menerima falsafah, konsep dan norma yang termaktub dalam deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.
Deklarasi itu menetapkan standard minimum dan umum berkenaan hak asasi manusia untuk semua orang di semua negara.
"Sejajar dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2017 yang bertemakan 'Mengarusperdanakan Hak Asasi Manusia, Kesederhanaan dan Keterangkuman untuk Perpaduan, Keamanan dan Harmoni', Malaysia percaya bahawa kesederhanaan, saling menghormati dan pemahaman adalah nilai-nilai utama yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang tenteram serta memupuk semangat muhibah antara pelbagai kaum dan agama yang berbeza di negara ini," kata kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan juga telah menggunakan pendekatan '1Malaysia' untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, bertujuan memelihara dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan dan kekal sebagai harapan terbaik untuk masa depan, katanya.
Untuk itu, Malaysia akan terus memperjuangkan kesederhanaan dalam merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian serta untuk melawan ekstremisme dan radikalisasi di dalam negara dan di forum antarabangsa, di samping terus menerima falsafah, konsep dan norma yang termaktub dalam UDHR, kata kenyataan itu.
Hari Hak Asasi Manusia disambut pada 10 Dis setiap tahun bagi memperingati hari Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima UDHR pada tahun 1948.
-- BERNAMA
#campur tangan asing
#hak asasi
#Hari Hak Asasi Manusia
#Kementerian Luar
#PBB
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu