Hari Guru: PM Anwar harap guru bantu lonjak martabat negara
Shuhada Abdul Kadir
Mei 16, 2023 14:17 MYT
Mei 16, 2023 14:17 MYT
AYER KEROH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu golongan pendidik untuk memberi kesempatan baharu serta membantu kerajaan dalam melonjakkan semangat rakyat dalam membawa negara ke peringkat tertinggi.
Beliau berkata, dengan kekuatan bahasa, sastera, budaya, nilai akhlak dan teknologi, komitmen guru-guru mampu membawa negara ke arah masa depan yang lebih cerah selain mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara hebat di rantau ini.
“Saya datang mewakili pimpinan kerajaan merayu kepada saudara-saudara untuk beri kesempatan baharu, lonjakkan semangat, kita angkat negara ini, dengan kekuatan bahasanya, sasteranya, budayanya, nilai, akhlaknya dan teknologinya diangkat sebagai satu negara hebat di rantau kita.
“Saya yakin insya-Allah, kalau guru-guru ini komited sepertimana saudara lakukan, tingkatkan sedikit, saya percaya masa depan kita akan cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Sambutan yang bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut katanya, negara telah ketinggalan jauh kerana simpang siur politik dan dijadikan sebagai tempat mengaut kekuasaan yang ada.
Rentetan itu jelasnya, beliau yakin dengan peningkatan komitmen guru-guru mampu membantu negara mencapai setiap sasaran dalam mensejahterakan rakyat.