Hari Guru 2021: Konsep pembelajaran yang baik perlu sentiasa relevan - PM Muhyiddin

Firdaus Azil
Mei 16, 2021 11:45 MYT
Muhyiddin berkata beliau menyedari cabaran menjalankan PdP secara dalam talian, terutamanya ketika pelaksanaan PdPR. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perubahan yang berlaku akibat pandemik COVID-19 jelas membuktikan konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara 'four walls of a room', kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, konsep pembelajaran yang baik mesti relevan pada setiap masa dan setiap tempat.
Dalam suasana norma baharu, ujar Perdana Menteri lagi, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya dalam kalangan warga pendidik.
"Hari ini, pelantar pembelajaran digital mendominasi kaedah pembelajaran sebagai sokongan pembelajaran sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah.
"Sejak 15 Jun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ atau DELIMa.
"Platform ini merupakan salah satu peluang untuk para guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital.
"Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Guru ke-50, bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, secara langsung di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau menyedari cabaran menjalankan PdP secara dalam talian, terutamanya ketika pelaksanaan PdP di rumah (PdPR).
Namun, katanya lagi, beliau telah melihat ramai di kalangan guru yang berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP.
"Ini merupakan suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan yang luas.
"Saya harap pihak KPM akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri, demi menambahbaik pendekatan PdP dari masa ke semasa,” tambahnya.
#Muhyiddin Yassin #PM #Hari Guru 2021 #Kementerian Pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #Perdana Menteri #pendidikan #guru #menteri #Malaysia #COVID-19 #pandemik #digital #aplikasi #KPM #norma baharu
;