Hari Eropah dirai dengan hiasan warna bendera EU di Jambatan Saloma

Bernama
Mei 12, 2022 14:32 MYT
Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia meraikan Hari Eropah dengan mempamerkan hiasan warna biru bendera EU dengan bulatan 12 bintang di Jambatan Saloma. - Gambar Twitter @MichalisRokasEU
KUALA LUMPUR: Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia pada Isnin meraikan Hari Eropah dengan mempamerkan hiasan warna biru bendera EU dengan bulatan 12 bintang di Jambatan Saloma.
Hari Eropah, disambut setiap tahun pada 9 Mei sebagai meraikan keamanan dan perpaduan di EU.
Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, acara penting itu juga sebagai tanda memperingati hubungan yang terjalin dengan Malaysia sejak sekian lama dan menunjukkan EU sebagai rakan kongsi Malaysia dalam pelbagai aspek.
"Bermakna Hari Eropah adalah peluang terbaik untuk memikirkan bidang kerjasama baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Eropah," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Rokas berkata, dalam usaha untuk memberi lebih banyak peluang dan masa depan yang lebih baik kepada golongan muda, Hari Eropah tahun ini, bertemakan "Tahun Belia Eropah", bertujuan menangani isu-isu yang memberi kesan kepada belia.
Rokas dan 14 duta serta wakil negara anggota EU, bersama Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo, hadir pada sambutan itu, Isnin.
Bendera Ukraine turut dipamerkan di Jambatan Saloma sebagai simbol solidariti EU dengan Ukraine dan rakyatnya, menyuarakan semangat Deklarasi Schuman yang dibuat pada 9 Mei 1950, sehingga membawa kepada penubuhan EU.
Delegasi EU di Malaysia turut menghasilkan video pendek yang mengetengahkan tarikan acara itu. - BERNAMA
#Kesatuan Eropah #EU #Jambatan Saloma #Hari Eropah
;