Hari Bumi 2021: Urus lebihan makanan dengan bijak

Khairunnisa Kasnoon
April 21, 2021 07:56 MYT
Antara cara terbaik menguruskan lebihan makanan adalah menjadikannya sebagai baja kompos supaya ia tidak disalurkan ke pusat pelupusan sampah.
SETIAP pihak perlu tahu bagaimana untuk menguruskan lebihan makanan bagi memastikan bumi sentiasa terpelihara.
Pengarah Program EkoKnights, Fadly Bakhtiar memaklumkan, antara cara terbaik menguruskan lebihan makanan adalah menjadikannya sebagai baja kompos supaya ia tidak disalurkan ke pusat pelupusan sampah.
Pada masa sama Fadly mengingatkan, makanan itu datang bersama plastik pembungkus, bekas makanan serta penyedut minuman yang akhirnya akan dibuang sebagai sampah.
“Lebihan makanan yang kita ada itu boleh digunakan dengan cara yang baik.
"Kita boleh kitar semula, jadikan baja kompos supaya ia tidak pergi ke pusat pelupusan sampah dan juga kita perlu ingat makanan yang kita dpaat tu, bukan makanan sahaja, ia datang dengan plastik, bekas makanan, straw dan sebagainya.
"Jadi bila makanan habis, apa kita buat dengan bekas makanan tu, ia dibuang, bila ia dibuang, ia jadi masalah lain.
"Ia jadi pencemaran dan juga ia boleh pergi hingga jauh hingga ke sungai dan ke laut.
"Apa jadi bila bahan buangan itu ke laut? Ia akan terurai dan akan dimakan oleh ikan atau haiwan di laut dan kita akan tangkap ikan, makan ikan tersebut dan sampah itu akan masuk semula ke dalam badan kita.
We are what we eat,” katanya.
Meskipun pelbagai kempen dijalankan, namun usaha untuk mendidik masyarakat perlu terus dijuangkan.
Katanya, pihak terlibat boleh lebih kreatif dalam menggerakkan kempen sehingga ia mampu memberi impak besar kepada masayarakat dan juga alam sekitar.
“Itulah pentingnya pendidikan. Satu proses yang sangat panjang, tapi perlu dilakukan.
"Contohnya, syarikat atau penjual boleh buat kempen, bawa bag sendiri - dapat diskaun, bawa beg sendiri dapat air percuma, itu semua intensif-intesif yang dilakukan, tapi sampai bila nak diberi intensif ni?
"Mungkin untuk kempen seterusnya, kalau sesiapa tidak membawa bekas makan sendiri, dia akan dikenakan caj, RM1 satu bekas makanan, kalau 5 dah RM5.
"Jadi dia akan berfikir daripada kena caj RM5 baik bawa bekas sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu Fadly turut menyarankan supaya terus menyokong produk tempatan terutama hasil ternakan dan tanaman dalam negara bagi mengurangkan jejak karbon
“Kita boleh beli produk lokal, sokong lokal.
"Maksudnya bukan makanan import, macam ikan salmon dari Norway, daging dari Jepun, kita boleh kurangkan.
"Kita boleh beli penghasilan daripada dalam negara sebab ia kurang penghasilan jejak karbon (carbon food print),” katanya.
#pendidikan #food #Hari Bumi 2021 #makanan #Sungai #alam sekitar #Bumi #EkoKnight #bekas makanan
;