Hari Bumi 2021: Tolak kebergantungan kepada beg plastik
Khairunnisa Kasnoon
April 22, 2021 22:10 MYT
April 22, 2021 22:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak mahu meneruskan kebergantungan kepada beg plastik mendorongnya mengguna pakai bekas atau beg guna semula ketika membeli barangan.
Bermula sejak tiga tahun lalu, Rozita Zainuddin memberitahu, ia bukan sekadar untuk menyelamatkan bumi tetapi merupakan langkah penjimatan yang paling bijak.
Nampak mudah, namun semuanya bergantung kepada diri sendiri untuk memulakan usaha murni seumpama itu.
"Benda pertama sekali yang kita perlu sedar, berapa banyak sebenarnya plastik ini adalah masalah bukan sahaja kepada saya, awak tapi masalah kita semua.
"Kalau plastik ni dah terlampau banyak, sampai boleh cover sebahagain besar Lautan Pasifik, kita kena sedar itu adalah satu masalah. Siapa yang nak pergi ambil? Siapa yang nak pergi buang?,"ujarnya.
Hari Bumi 2021 | Tolak kebergantungan kepada plastik beg
Katanya, sejak mula mengelakkan penggunaan plastik, lebih banyak kesedaran lain timbul dalam dirinya.
"Bila saya dah mula cuba kurangkan penggunaan plastik ni, kesedaran mengenai pencemaran lain dan benda-benda yang kita patut jaga untuk jaga bumi ni, kita dah mula nampak.
"Contohnya minyak masak buang di mana, penggunaan air, bagaimana ia digunakan ketika basuh lantai, siram pokok... Saya mula nampak bagaimana kita boleh buat lebih baik demi bumi kita," katanya lagi.
Menceritakan pengalamannya, suri rumah berusia 48 tahun ini berkata, dia bukan sahaja mengelakkan penggunaan plastik sekali guna, malah dia turut menggunakan lebihan makanan sebagai baja kompos dan penuaian air hujan.
Malah pemilik perniagaan Susunkita ini turut mengerakkan kempen mengguna semula plastik menerusi media sosial.
"Sekarang ni kita banyak beli secara online, semua bubble wrap yang ada? Itu semua plastik, jadi saya dah nampak masalah ni sangat banyak, kita mula join group, kita sebarkan kat sosial media, sesiapa penjual online yang perlukan bubble wrap, tak perlu beli, mari kita sama sama kongsi, kita reuse, tadi kita refuse, ni kita reuse," tambahnya lagi.
Berkongsi tip, Rozita berkata untuk bermula, ia perlu ada perancangan supaya susun atur pembelian dapat berjalan lancar dan sentiasa sediakan beg sendiri sama ada dalam kereta ataupun di pejabat.
Lama kelamaan, ia akan menjadi amalan dan kebiasaan.
“Tidak perlu buat besar, buat yang kita mampu dan saya rasa, membawa bekas adalah sesuatu yang kita mampu. Kita tak perlukan plastik pun, bumi pun tak perlukan plastik. Marilah betul-betul jaga bumi kita ini sebaik mungkin dengan elakkan plastik, bukan setakat straw, tapi segala jenis plastik.
"Kita boleh bermula dari rumah dengan syarat kita nak buat,” ujarnya lagi.