Hari Biodiversiti: Pulihara sekiranya enggan kehilangan khazanah 'megadiverse' negara

Pia Ernadya
Mei 22, 2024 06:45 MYT
Menurut Siva Kumar, pemanasan global boleh dielakkan jika segala dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan itu bersifat konsisten dan tetap dilaksanakan. - Gambar AWANI.
PUTRAJAYA: Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi berbanding dengan negara-negara seperti Afrika dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, apa yang dikesalkan, tidak ramai dalam kalangan kita dapat menikmati khazanah negara untuk jangka masa yang panjang jika orang ramai tidak ambil cakna tentang kepentingan ini.
Menurut Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES, S. Siva Kumar, khazanah yang ada di negara ini harus dinikmati, disayangi dan dicintai demi masa hadapan untuk generasi yang akan datang.
Dalam konteks ini, Siva Kumar menyuarakan kebimbangan seiring dengan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang yakin seandainya tiada sebarang usaha diambil untuk memulihara khazanah negara, Malaysia akan kehilangan benda yang paling berharga.
"Kita mempunyai keluasan biodiversiti (yang) lebih kurang 54.58 peratus dan ini merupakan satu angka yang patut kita kekalkan supaya apabila apa jua tindakan yang kita ambil.
“Kita kena seimbangkan dengan apa yang diperlukan oleh kepelbagaian biologi sebab bila kita bercakap pasal kepelbagaian, kita bukan sahaja kena fikirkan pasal hutan tetapi kita kena fikir tentang kehidupan laut, bukit bakau, gunung dan sebagainya," katanya ketika wawancara Pantau Agenda Reformasi pada Rabu.
Tegasnya lagi, adalah penting untuk orang ramai mengambil berat tentang hal ini kerana kehidupan alam juga menyumbang kepada kitaran hayat manusia khususnya seperti pokok-pokok yang berpotensi untuk memberi oksigen kepada manusia.
Justeru, katanya, menjadi tugas dan tanggungjawab manusia untuk menjaga dengan rapi.
Kajian daripada World Weather Attribution(WWA) menunjukkan pemanasan global yang disebabkan perubahan iklim sedang melanda seluruh negara pada ketika ini dan impak yang paling ketara dirasai di rantau Asia Tenggara.
Meskipun tidak tersenarai dalam kajian ini, namun, Malaysia masih berada dalam lingkungan yang berisiko.
Menurut Siva Kumar, pemanasan global ini boleh dielakkan jika segala dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan itu bersifat konsisten dan tetap dilaksanakan.
"Keperluan yang kita nampak sekarang adalah lebih kepada pendidikan dan juga public awareness… apa yang kita buat sekarang adalah ingin memaklumkan kepada orang luar bagaimana sumbangan daripada kecil sampailah ke dewasa akan membawa kepada kelestarian alam dan juga secara tidak langsung, kita cuba juga untuk kurangkan green house impact itu.
"Dan di saat ini, kita pentingkan biodiversiti. Ramai yang anggap biodiversiti ini adalah satu perkataan saintifik, sebenarnya bukan, ia adalah kepelbagaian biodiversiti di antara manusia dan juga alam sekitar... jadi bila kita jaga alam sekitar, dia akan kembalikan kepada kita," tambah Siva Kumar lagi.
#Hari biodiversiti #pantau agenda #khazanah negara #keluasan biodiversiti
;