Hari Belia: Tambah baik agenda pemerkasaan belia
Madiha Abdullah
Mei 13, 2023 05:20 MYT
Mei 13, 2023 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Masih banyak yang perlu dilakukan kerajaan bagi meneruskan pemerkasaan golongan belia.
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuklah membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sehingga kini sering diberi tanggapan negatif tentang peranannya.
"Saya fikir kita kena yakin bahawa mahasiswa mempunyai tingkat intelektual yang tinggi. Saya sendiri kerap berpesan kepada mahasiswa supaya sentiasa beringat, walaupun diberi ruang aktif dalam politik tetapi yang lebih penting ialah bagaimana mereka membawa budaya politik itu.
"Jangan ikut acuan lama, bawa pembaharuan dan kaedah perdebatan yang lebih baik. Mahasiswa kena jadi pemimpin dalam hal ini, kena faham anda golongan yang berintelek tinggi jadi kena bawa nilai yang lebih baik untuk corak masyrakat dan sosial kita supaya jangan terbawa dengan anasir politik lama," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Hari Belia yang akan disambut pada 15 Mei ini.
Jelasnya lagi, AUKU bukan sahaja tentang mahasiswa dan pembabitan dalam politik tetapi secara asasnya, ia merupakan isu kawal selia serta tatacara di universiti dan kolej universiti.
Beliau juga bersetuju kerajaan masih perlu memberi lebih perhatian terhadap isu membabitkan ekonomi dan keboleh pasaran graduan, namun dalam masa yang sama melihat peranan graduan sendiri turut sama penting.
"Mahasiswa kena faham kebolehpasaran ini bergantung kepada banyak perkara. Aspek kemahiran dan cara pembawaan sangat penting untuk anda bersedia memasuki pasaran pekerjaan.
"Ambil peluang di universiti untuk menerokai potensi dan membentuk diri menjadi mahasiswa holistik supaya isu kebolehpasaran dapat ditangani," katanya lagi.