Hari Belia lonjak semangat anak muda Malaysia - Anwar

Bernama
Mei 15, 2023 10:40 MYT
ANWAR: Untuk jadi manusia berguna kepada keluarga dan negara, kita harus mulakan dengan persiapan keyakinan, ilmu, amal dan tindakan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Belia Negara 2023 bukanlah sekadar sambutan biasa, sebaliknya, ia memberi lonjakan semangat dan ruang kepada anak muda Malaysia untuk bersuara dengan lebih berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan itu juga mengingatkan golongan berkenaan bahawa mereka ialah pemimpin kini dan masa depan.
"Hari Belia Negara ini adalah kesempatan angkat semula martabat belia, mengingatkan mereka adalah pemimpin kini dan masa depan dan memberi ruang untuk mengemukakan masalah kepada pihak bertanggungjawab.
"Sebagai anak muda kita punya tanggungjawab, kita kena berfikir, menilai, kita harus sedar bahawa untuk jadi manusia berguna kepada keluarga dan negara, kita harus mulakan dengan persiapan keyakinan, ilmu, amal dan tindakan," katanya dalam rakaman ucapan video sempena Hari Belia Negara 2023.
Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun ialah satu pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia.
Sambutan peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan pada 28 Mei di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan yang dijangka dirasmikan oleh Anwar.
-- BERNAMA
#Hari Belia Negara 2023 #semangat anak muda #martabat belia #PM Anwar Ibrahim
;