Hari Belia: 'Anak muda perlu sokongan untuk aktif dalam pembangunan negara'
Madiha Abdullah
Mei 15, 2021 19:40 MYT
Mei 15, 2021 19:40 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan belia sememangnya aktif dan sangat lantang bersuara di media sosial.
Namun kelantangan itu dilihat gagal diterjemahkan di dunia sebenar, malah bilangan belia yang terbabit secara aktif dalam pembangunan negara dan bangsa, masih kurang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The ASEAN Post, Rohan Ramakrishnan berpendapat, ini mungkin berpunca daripada kurangnya polisi dan undang-undang yang menyokong pembabitan belia dalam politik.
"Kita masih kekurangan dari aspek undang-undang dan polisi yang betul yang boleh menyokong dan membantu belia. Kita ada Undi18 dan itu satu permulaan baik.
"Tetapi dalam masa yang sama belia sendiri ada pengetahuan tentang apa yang mereka mahu perjuangkan.
"Kita hidup di zaman di mana maklumat palsu cukup senang untuk diperolehi, maka di sinilah perlunya mereka memahami apa dan mengapa mereka perjuangkan sesuatu," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI hari ini.
Dalam masa yang sama, Rohan juga mahu kerajaan lebih aktif dan inklusif dalam usaha membawa belia menceburi dunia politik.
"Kerajaan boleh mula membabitkan belia dalam proses pembuatan polisi seawal yang mungkin. Masalahnya sekarang, usia 25 tahun pun masih dianggap sebagai tidak matang untuk dimasukkan dalam perbincangan politik mainstream.
"Ini tidak sepatutnya berlaku. Di Barat, mereka tidak teragak-agak untuk melibatkan golongan belia dan membenarkan belia mengambil bahagian," ujarnya.
#youth
#Belia
#media sosial
#politik
#kerajaan
#undang-undang
#hari belia
#The ASEAN Post
#Rohan Ramakrishnan