Hari Bebas Kereta Sedunia: Menuju Kuala Lumpur yang lebih mesra untuk berbasikal
Ian Johan Ariff
September 21, 2015 21:18 MYT
September 21, 2015 21:18 MYT
Hari Bebas Kereta Sedunia (WFCD) disambut secara global setiap tahun pada 22 September.
Inisiatif ini dilihat dapat mewujudkan warga kota yang lebih sihat dan mengurangkan kesan pemanasan global.
Salah satu cara adalah dengan menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan utama di seluruh dunia.
Persoalannya bagaimana kita mengubah Kuala Lumpur agar lebih mesra pengguna basikal?
Setakat ini 93% isi rumah memiliki kereta dan merupakan pengangkutan utama, tidak kira untuk perjalanan jarak jauh atau dekat.
Menurut penyelaras projek kota basikal Kuala Lumpur, Jeffrey Lim, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan pihak berkuasa bagi mengubah gaya hidup warga kota untuk berbasikal.
Untuk menjayakannya, Jeffrey berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan usaha untuk menyediakan lebih banyak laluan basikal selain berharap agensi kerajaan atau swasta memberikan insentif ataupun kemudahan kepada pekerja yang berbasikal ke tempat kerja.
"Selain itu, polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang membenarkan basikal dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam pada setiap masa, bukan masa-masa tertentu perlu dikeluarkan," kata Jeffrey.
Bagi tempoh jangka masa yang panjang, Jeffrey berpendapat sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan untuk merangka pelan nasional ke arah menjadikan Malaysia lebih mesra basikal.
Kajian menunjukkan perjalanan jarak dekat dalam bandar lebih cepat jika menggunakan basikal.
Bagi Jeffrey, perubahan tidak boleh dibuat terlalu drastik untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih mesra basikal kerana ada tiga isu yang sering dibangkitkan pengguna basikal yang perlu diselesaikan.
"Pertama, perlu ada lebih banyak laluan basikal yang selamat, kedua laluan yang teduh dari cuaca panas dan ketiga mencegah jenayah di laluan basikal dengan mengadakan lebih banyak rondaan polis di tempat yang lebih sunyi," jelas Jeffrey.
Projek kota basikal merupakan kumpulan sukarelawan yang mencipta peta bagi panduan untuk berbasikal di Kuala Lumpur.
Hari bebas kereta sedunia merupakan langkah awal untuk menjadikan dunia bebas kenderaan.
Penggunaan basikal bukan sahaja mengurangkan pencemaran tetapi turut mengurangkan suhu di bandar raya ini.