Hari ATM ke-87: Empat teras utama digariskan perkukuh pertahanan negara

Fareez Azman
September 10, 2020 17:23 MYT
Memastikan kedaulatan negara terus dijaga terutama melibatkan sempadan darat, udara dan air bukan satu tugasan yang mudah buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Gambar Fail
Memastikan kedaulatan negara terus dijaga terutama melibatkan sempadan darat, udara dan air bukan satu tugasan yang mudah buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menyambut ulang tahun ke-87 Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang 16 September depan dalam keadaan pandemik COVID-19, bagaimanapun tidak mematahkan semangat agensi keselamatan itu untuk meraikan pengorbanan setiap perajurit terhadap negara.
Menurut Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, bertemakan 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama' satu perbarisan dengan penyertaan minimum akan diadakan pada 22 September ini di Kem Perdana Sungai Besi.
"Rancangan kita, sambutan kali ke-87 Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ini (Tahun 2020), kita buat skala kecil. Kita (ATM) akan membuat perbarisan pada 22 September 2020 penyertaan minima.
"Kita cuba untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, kalau terkena seorang dua anggota, akan merebak (jangkitan) dengan cepat seperti apa yang berlaku di Kluster Lahad Datu (LD)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Panglima Angkatan Tentera bersama media sempena Hari ATM ke-87 di ibu negara pada Khamis.
Sempena ulang tahun penubuhan agensi keselamatan itu, ATM ujar Affendi turut mengariskan empat teras utama sebagai panduan.
"Justeru dengan 87 tahun usia kematangannya, ATM berpegang kepada empat teras utama yang dijadikan sebagai panduan atau medium dalam melaksanakan aspek urus tadbir yang lebih komprehensif.
"Ia bagi melahirkan sebuah negara selamat, berdaulat dan makmur. Teras pertama, memperkasakan kesiapsiagaan aset Angkatan Tentera Malaysia, Teras kedua, memperkasa warga ATM yang cemerlang.
"Manakala teras ketiga, mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber dan teras keempat menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan," jelas beliau lagi.
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Hari ATM #Lahad Datu #Media #pandemik #Panglima Angkatan Tentera
;