Hari Al-Quds Sedunia: Kesedaran, naratif perjuangan pembebasan Palestin perlu terus diperhebat - Adly Zahari
Fareez Azman
Mac 12, 2023 20:37 MYT
Mac 12, 2023 20:37 MYT
CYBERJAYA: Kesedaran terhadap perjuangan pembebasan Palestin dan kiblat pertama umat Islam, Masjid Al-Aqsa dari cengkaman rejim Zionis Israel perlu terus diperhebat di negara ini.
Demikian tegas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika melancarkan Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023 di Cyberjaya pada Ahad.
Jelasnya, naratif perjuangan dan kesedaran masyarakat terhadap isu Palestin di negara ini amat penting.
"Hari ini adalah pelancaran Hari Al-Quds Sedunia. Kita berbangga sebagai rakan-rakan badan bukan kerajaaan (NGO) melaksanakan program (ini), dengan semangat masyarakat di Malaysia, yang mempunyai kesedaran dan memperjuang isu berkaitan hak negara Palestin.
"Tiga aspek penting bagi perjuangan rakyat Palestin iaitu, moral dalam kalangan umat Islam harus cekal memperjuangkannya.
"Kedua, adalah dunia Islam itu sentiasa berpecah-belah dalam banyak isu. Ia mengenai perpaduan tetapi saya fikir semua harus mainkan peranan. Setiap individu (memainkan peranan) untuk menyatukan umat Islam berkaitan isu Palestin dan keamanan sejagat," jelasnya.
Tambah Adly, keganasan Zionis perlu dibendung dengan tekanan tidak henti daripada umat Islam di seluruh dunia.
Lebih penting ujarnya, masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa perlu bersama dalam memperjuang hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
"Kita harus membina pelapis dalam kalangan generasi muda untuk memahami kerana naratif tentang Palestin harus jelas sebelum mengajak masyarakat menyokong perjuangan ini.
"Saya fikir perjuangan NGO-NGO ini amat baik dan membina pelapis dalam kalangan generasi muda tentang Palestin. Dari kefahaman itu akan bawa perjuangan lebih telus," katanya lagi.
Terdahulu, Adly melancarkan Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023 anjuran lapan NGO antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (Manar) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (Sejagat).
Dalam pelancaran itu, turut dilancarkan Deklarasi Pelaan Bertindak Al-Quds 2023 serta Pelan Tindakan Strategik 2023 untuk mengukuhkan kempen pembebasan Al-Quds.