Hargai seni dan kraf kita agar kekal menjadi warisan - Raja Permaisuri
Irwan Muhammad Zain
Oktober 5, 2023 18:16 MYT
Oktober 5, 2023 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini seharusnya berbangga dengan kesenian yang dimiliki dan perlu berusaha menjaganya agar ia terus kekal menjadi warisan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar rakyat negara ini mencontohi negara lain yang menjaga kesenian mereka.
"Kita harus berbangga dengan apa yang kita ada. Kita ada dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, begitu banyak jenis seni dan kraf (dari pelbagai budaya)," titah Baginda.
Tunku Azizah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), atas sokongan padu yang diberikan kepada industri selama ini.
"Tanpa sokongan Kraftangan Malaysia, kita tidak akan berada di tempat kita hari ini. Kraftangan Malaysia adalah seperti guru kepada setiap jenis kraf yang berbeza (di negara ini).
"Ini telah membuatkan kita dapat mengekalkan apa yang ada di sekitar Malaysia," titah Baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada perasmian CIMB Artober 2023, sebuah pameran seni yang menampilkan karya-karya seni dari seluruh negara.
Dengan hasrat untuk memacu ekosistem seni Malaysia, Kumpulan CIMB sekali lagi menganjurkan CIMB Artober Art & Soul.
Acara yang kini memasuki tahun keempat penganjurannya turut mempromosikan penghargaan institusi kewangan tersebut dalam penglibatan intelektual dan minat di kalangan peminat seni.
Menurut Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad pihaknya akan terus memberi sumbangan besar kepada persada seni tempatan.
“Kami berbesar hati untuk terus membuat sumbangan besar kepada persada seni tempatan melalui CIMB Artober untuk tahun keempat.
"Kami melihat kepentingan dalam peranan untuk menjadi peneraju dalam menyokong ekosistem seni dan budaya serta memberi tenaga ekonomi kreatif di Malaysia.
"Inisiatif ini telah berkembang, mewujudkan pasaran yang bertenaga dan menjadikannya acara seni yang sentiasa dinanti-nantikan.
"Kami berharap untuk meneruskan usaha kami dalam memupuk kebanggaan negara dalam seni dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk seni,” katanya.
CIMB Artober Art & Soul merupakan sebahagian daripada CIMB Artober, kempen tiga bulan oleh bank ini untuk meraikan seni visual, yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini.
Galeri-galeri yang berpartisipasi adalah A+ Works of Art, Artas Art Gallery, Core Design Gallery, G13 Gallery, La Galerie du Monde, Rissim Contemporary, Suma Orientalis Fine Art, TAKSU, dan ZHAN Art | Space.
Manakala penyertaan baru adalah Galeri Puteh, Art+ Contemporary, Centexs Commercial Sarawak, Public Art Alliance, Qing Gallery, SARENG, Segaris Art Centre, Wei-Ling Gallery, Yayasan Hasanah. Dan dari Filipina, The Drawing Room juga mengambil bahagian.
CIMB Artober Fashion Week 2023 juga akan berlangsung pada masa yang sama, dengan 12 peserta dari Malaysia dan Indonesia mengadakan empat pertunjukan fesyen sepanjang empat hari pameran.
Sorotan utama CIMB Artober Art & Soul tentunya di Pavilion Pahang yang mempamerikan koleksi peribadi kain tenun Raja Permaisuri Agong.