Hargai petugas barisan hadapan, sambut Krismas cara sederhana - Abang Johari

Astro Awani
Disember 24, 2020 16:55 MYT
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Isterinya Datin Patinggi Datuk Juma'ani Tuanku Bujang berharap perpaduan seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira agama terus dipertahankan. - Foto: Pejabat Ketua Menteri Sarawak
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan terhadap petugas barisan hadapan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam menangani penularan COVID-19 di negeri itu.
Jelasnya pengorbanan wira negara ini amat besar maka usaha berterusan memerangi COVID-19 perlu dilakukan secara kolektif oleh semua penduduk negeri itu.
Menerusi Perutusan Khas sempena Hari Krismas 2020, beliau menyeru agar penganut Kristian di negeri itu untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pada waktu ini, anda mungkin tidak dapat melakukan acara bersembahyang di gereja, menganjurkan perarakan Krismas atau melawat saudara mara dan rakan pada hari Krismas.
“Semuanya kerana kita perlu mengehadkan pergerakan untuk mengekang penularan jangkitan COVID- 19,” kata Abang Johari.
Tambahnya, COVID-19 telah memberi impak buruk terhadap ekonomi negeri terutamanya kepada sektor pelancongan.
Oleh itu kerajaan negeri sedaya upaya membantu meringankan beban rakyat yang terjejas, antaranya melaksanakan inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang.
“Kerajaan negeri telah berusaha sehabis baik untuk membantu golongan yang terjejas menerusi pelbagai jenis bantuan di bawah BKSS 1, 2 dan 3 yang melibatkan jumlah terbesar sebanyak RM2.6 juta.
“Ini jumlah bantuan kedua terbesar berbanding negeri lain selain daripada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya lagi.
Mengakhir perutusan itu, Abang Johari mengajak seluruh warga Bumi Kenyalang untuk terus mengekalkan perpaduan demi ibu pertiwi.
“Dalam pada kita berada diambang meninggalkan tahun 2020 dan melangkah ke tahun 2021 saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk terus mengukuhkan iltizam untuk menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan negeri dalam apa jua kapasiti dan peranan.
“Akhir kata, sekali lagi saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada saudara dan saudari yang merayakan perayaan ini dan Selamat Tahun Baru 2021 kepada semua rakyat Negeri Sarawak,” katanya.
#sambutan Krismas di Sarawak #SOP Hari Krismas di Sarawak #sambutan Krismas norma baharu #petugas barisan hadapan #JPBN Sarawak #Bantuan Khas Sarawakku Sayang #Abang Johari Tun Openg
;