Hargai pandangan dan penuhi keperluan rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong

Ridauddin Daud
November 13, 2021 11:36 MYT
Titah baginda, sekiranya konsep itu diamati sebaiknya, semangat Keluarga Malaysia boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka kepelbagaian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar setiap pandangan rakyat sewajarnya dihargai dan keperluan mereka dipenuhi.
Berpandukan semangat Keluarga Malaysia, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia diibaratkan sebagai sebuah keluarga dan setiap ahli dalam keluarga hendaklah dihormati.
Titah baginda lagi, sekiranya konsep itu diamati sebaiknya, semangat Keluarga Malaysia boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka kepelbagaian.
“Jika dasar Keluarga Malaysia yang inklusif dan adil, digabungkan pula dengan semangat sebuah Keluarga Malaysia, beta percaya negara akan terus berdaya saing dan mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
“Justeru, pelaksanaan semua program di bawah dasar Keluarga Malaysia hendaklah diteliti, diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Pandangan serta cadangan rakyat beta juga hendaklah diterima oleh agensi pelaksana dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” titah Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Turut berangkat dalam istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada istiadat itu, seramai 44 daripada 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan COVID-19.
Mengenai sambutan pada Sabtu, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar setiap peruntukan dalam Bajet 2022 diurus tadbir dengan dengan penuh ketelitian agar dapat memberi impak optimum kepada negara khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan sosio-ekonomi.
“Negara terus mencatatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Perkembangan ekonomi negara sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021, menunjukkan negara berada pada landasan yang betul dalam fasa pemulihan ekonomi.
“Prestasi baik ini hendaklah diteruskan. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu terus meneroka strategi baharu yang berinovatif dan merangka bidang per-tumbuhan baharu bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.
“Walau bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara tahun 2020 yang diterbitkan baru-baru ini telah melaporkan beberapa isu kerugian kepada kerajaan,” titah Baginda.
Justeru, Al-Sultan Abdullah menitahkan kerajaan supaya segera merangka strategi dan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani perkara tersebut agar ia tidak berulang lagi.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Keluarga Malaysia #Istana Negara
;