Hargai kemerdekaan dan keamanan - PM
Bernama
September 5, 2016 15:59 MYT
September 5, 2016 15:59 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat agar tidak lalai dan mengambil mudah kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara selama 59 tahun ini.
Perdana menteri berkata ramai di kalangan rakyat lalai dan mengambil mudah kemerdekaan serta keamanan tanpa mengetahui pencapaiannya bukanlah mudah.
"Para perwira kita berkorban nyawa, bermandi darah untuk mencapai dan mengekalkan kemerdekaan dan keharmonian yang kita ada hari ini," katanya menerusi akaun rasmi Facebook @najibrazak hari ini.
Beliau melahirkan pandangan itu semasa melancarkan Projek Taman Tugu di ibu negara, semalam.
"Memandang Tugu Negara semalam, saya diselubungi perasaan sebak, wajah para perwira kita yang telah terkorban dalam usaha memelihara keamanan dan keharmonian negara bermain di fikiran saya," katanya.
Najib turut mengajak rakyat supaya ucapkan terima kasih dan sedekahkan Al-Fatihah kepada perwira-perwira negara yang telah pergi dahulu.
Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah British menyerahkan pemerintahannya kepada warganegara Tanah Melayu melalui pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu.
Projek Projek Taman Tugu itu mentransformasikan kawasan Tugu Negara kepada taman rimba kota, iaitu antara usaha ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.
Projek seluas 26.7 hektar, yang fasa pertamanya akan siap pada pertengahan 2018, bertujuan menambah tempat beriadah untuk warga kota.
Najib berharap Taman Tugu sinonim dengan Kuala Lumpur sebagaimana London sinonim dengan Hyde Park, dan Central Park dengan New York.