Hargai batik, kedutaan Rusia di Malaysia anjur kelas batik

Astro Awani
Disember 4, 2021 13:46 MYT
Keunikan serta kehalusan seni batik menjadikannya istimewa di mata rakyat negara ini dan warga asing termasuk Rusia. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menyedari batik begitu dekat dengan hati warga Malaysia, pihak Kedutaan Persekutuan Rusia di negara ini menganjurkan kelas batik selama sehari di Jalan Ampang di sini.
Acara itu diadakan semalam, pada tarikh 3 Disember, yang diangkat kerajaan Malaysia sebagai Hari Batik Malaysia.
Selain menganjurkan kelas batik, pihak Kedutaan Rusia turut mengambil kesempatan mempromosikan batik kepada warganya yang hadir di acara tersebut.
Dalam hantaran di beberapa platform laman sosial kedutaan itu, ia mengajak orang ramai berkongsikan keunikan dan keistimewaan batik, yang menjadi warisan khazanah Malaysia.
"Penganjuran kelas melukis batik ini bukan sahaja menjadikan kedutaan Rusia antara yang terawal menyahut seruan Hari Batik Malaysia , tetapi juga menjadi salah satu usaha mendekatkan warga Rusia dengan rakyat Malaysia yang sangat menghargai batik," kata salah seorang peserta, Evgeniia Prozorovich.
Lebih 20 peserta warga Rusia menyertai kelas berkenaan yang disempurnakan isteri Duta Rusia di Malaysia, Marina Latypova.
Acara turut dihadiri isteri Duta Tajikistan di Malaysia, Suraya Odinaeva.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.
Pengisytiharan itu, jelas Perdana Menteri, bertujuan menggalakkan semua pihak untuk menggunakan Batik Malaysia.
Selain itu ia turut selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.
Sementara itu, warga Rusia yang juga bekas pensyarah di Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Victor Pogaydev mengakui, batik bukan sahaja diiktiraf di Malaysia tetapi menarik minat ramai pihak di arena antarabangsa.
Dalam satu tulisannya berjudul "Batik is the fabric of the Malay Soul" yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris di negara ini, Dr Pogaydev mengimbas bagaimana beberapa muzium di Moscow sebelum ini turut mempromikan koleksi batik kerana kagum dengan kesenian dan kehalusan buatannya.
"Baru-baru ini, Muzium Negeri dan Seni Oriental di Moscow turut menganjurkan pameran busana Melayu yang memperagakan batik dari Terengganu dan Kelantan," kata beliau kepada Astro AWANI.
Malah, menurutnya, selama sebulan sehingga Oktober tahun ini, pameran batik Malaysia turut berlangsung di Muzium Seni Halus Moscow.
Menurutnya, beliau sendiri pernah menyaksikan bagaimana uniknya kakitangan awam di negara ini berpakaian batik setiap Khamis ke tempat kerja dan menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang cukup istimewa.
Justeru itu, beliau percaya, Hari Batik Malaysia, yang bermula tahun ini berupaya menaikkan martabat batik sebagai salah satu keunikan Malaysia di mata warga asing.
Sementara itu, kedutaan Rusia di Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan lebih banyak acara berkaitan dengan batik selepas ini bagi memastikan lebih ramai warganya mendekati rakyat Malaysia.
"Ini penting untuk warga Rusia turut sama memahami aspirasi dan kebudayaan Malaysia menerusi penganjuran acara seperti itu,'' menurut status di Facebook rasmi Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia.
#batik #Malaysia #Kedutaan Rusia #hari batik malaysia
;