Harga turun, pelaksanaan GST kian stabil - Alias
Bernama
April 30, 2015 23:06 MYT
April 30, 2015 23:06 MYT
Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang genap sebulan hari ini turut menyaksikan beberapa jenis barangan mengalami penurunan harga dalam kebimbangan masyarakat akan berlakunya kenaikan harga barang.
Dilaporkan 99 jenis barangan di Semenanjung Malaysia, 145 di Sabah dan 102 di Sarawak mengalami penurunan harga selepas pelaksanaan GST itu, berdasarkan analisa Majlis Harga Negara yang membuat perbandingan harga pada minggu ketiga bulan Mac dan April.
Barangan yang mengalami penurunan harga termasuklah barangan basah, kering, berbungkus/tin/kotak, makanan dan barangan bayi.
"Bukan semua barang akan naik harga selepas GST seperti yang ramai ingat," kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad Alias.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan terdapat peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menaikan harga barang, termasuk barangan yang berkadar sifar GST.
"Barangan berkadar sifar GST memang tidak boleh naik dan jika naik pengguna harus membuat laporan," katanya.
Mengenai barangan yang naik harga, Alias menjelaskan ia tidak dielak berikutan faktor seperti kenaikan tukaran mata wang, kenaikan harga barangan di negara asal dan perubahan cuaca.
Pihak penguat kuasa dalam pada itu mempergiatkan usaha bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan pelaksanaan GST dan peniaga tidak mengambil kesempatan.
KPDNKK dalam tempoh 1-28 April telah melakukan pemeriksaan di 182,059 premis di seluruh negara dimana sebanyak 510 kes telah diambil tindakan, manakala 729 notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan.
Sebuah restoran di Seksyen 16, Shah Alam menjadi yang pertama dihadapkan ke mahkamah hari ini atas kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
KPDNKK turut menyediakan pelbagai saluran untuk pengguna mengemukakan aduan berkaitan GST termasuk e-aduan, Ez Adu, aduan melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter, atau menelefon Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP).
Sebanyak 5,327 aduan diterima bagi tempoh 1 hingga 28 April melalui e-aduan manakala 114 (Ez Adu KPDNKK), Facebook (4,353), Twitter (3,110) dan PGAP (5,765).
Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga tidak sunyi daripada beberapa isu berbangkit seperti berkaitan dengan layanan GST terhadap kad prabayar, caj perkhidmatan yang dikenakan hotel dan restoran serta pengeluaran resit bertulis tangan.
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam mengeluarkan kenyataan bercanggah berkaitan layanan GST terhadap kad prabayar.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad mengumumkan bahawa mulai 1 Mei harga kad prabayar telefon akan kembali kepada harga asal seperti sebelum pelaksanaan GST, iaitu jika kad prabayar bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10.
Beberapa jam kemudian, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie pula mengumumkan isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan GST, dengan memberikan contoh isian semula RM10 akan dijual pada harga RM10.60.
Namun hari ini, Khazali mengumumkan penangguhan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuat kuasa 1 Mei.
Berkaitan caj perkhidmatan, KPDNKK menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu itu dengan beberapa sesi perbincangan dibuat bersama 14 agensi dan jabatan kerajaan, persatuan hotel dan restoran, kesatuan pekerja serta persatuan pengguna bagi mencapai sepakat.
Setelah empat pertemuan, akhirnya pada 25 April, Alias mengumumkan kerajaan memutuskan hotel dan restoran yang mempunyai Perjanjian Bersama (CA) atau termaktub dalam kontrak pekerja boleh mengenakan caj perkhidmatan mengikut amalan biasa.
Hotel dan restoran bagaiamapun diwajibkan mempamer notis caj perkhidmatan di pintu masuk premis masing-masing mulai 1 Mei seperti diwarta di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015.
"Pemilik, pengurusan atau pengendali hotel atau restoran yang tidak mematuhi arahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan," kata Alias.
Pengarah Bahagian GST JKDM Datuk T.Subromaniam pula berkata peniaga diberi sehingga 30 September untuk mengkonfigurasikan sistem ‘point of sale’ atau mesin resit tunai (cash register) mengikut piawaian GST bagi mengeluarkan invois cetak bersiri.
"Selepas itu (30 Sept), tidak dibenarkan sama sekali menggunakan resit bertulis tangan, kecuali jika berlaku kerosakan mesin POS atau ketiadaan elektrik, hanya resit bertulis tangan dalam bentuk pra-cetak yang lengkap dengan maklumat yang memenuhi peraturan GST sah digunakan," katanya.
Walaupun masih ramai keliru dan tidak puas hati dengen pelaksanaan GST, namun pelaksanaannya didapati semakin baik dari hari ke hari.
Alias berkata negara lain juga memerlukan masa untuk stabil seperti Australia yang memerlukan setahun manakala Singapura lebih lapan bulan untuk pelaksanaan GST stabil.
Malaysia yang melaksanakan GST mulai 1 April pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16 peratus, menyertai 169 buah negara lain di dunia yang telah melaksanakan sistem percukaian tersebut.