Harga tiket penerbangan tinggi semasa perayaan, kerajaan cadang beri insentif
Bernama
November 17, 2023 15:08 MYT
November 17, 2023 15:08 MYT
KUCHING: Kementerian Pengangkutan bercadang memperkenalkan insentif bagi mengatasi isu harga tiket penerbangan yang tinggi pada musim perayaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kerajaan memahami keluhan rakyat dalam isu itu setiap kali musim perayaan terutamanya bagi mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
"Kita faham buat masa ini harga tiket penerbangan tinggi dan antara faktor peningkatan ini adalah forex (kejatuhan nilai ringgit) yang memberi kesan kepada harga minyak kapal terbang dan sebagainya.
"(Antara solusi boleh dilaksanakan) Kita akan memberikan insentif yang dapat disediakan semasa musim perayaan untuk menangani isu ini," katanya selepas merasmikan majlis Pengoperasian Radar Trafik Udara di sini hari ini.
Hasbi berkata inisiatif FLYsiswa juga akan diteruskan pada tahun depan untuk membantu pelajar pulang ke kampung halaman mereka.
Dalam Belanjawan 2024 bertemakan "Reformasi Ekonomi, Perkasa Rakyat" yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa diteruskan pada tahun hadapan yang akan dinikmati hampir 60,000 penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan khususnya dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
-- BERNAMA