Harga tiket penerbangan Labuan-Kuala Lumpur naik lagi
Bernama
September 2, 2022 19:42 MYT
September 2, 2022 19:42 MYT
LABUAN: Tiket penerbangan sehala kelas ekonomi Malaysia Airlines dari pulau bebas cukai ini ke Kuala Lumpur naik lagi mencecah hingga empat digit untuk penerbangan hari ini dan esok.
Tiket penerbangan (Labuan-KL) berharga RM1,593.52 untuk penerbangan hari ini dan RM1,451.48 bagi penerbangan esok (Sabtu).
Kenaikan harga tiket itu menyukarkan individu yang mahu mendapatkan rawatan perubatan segera di hospital yang biasa dikunjungi mereka di Kuala Lumpur atau lain-lain lokasi di Semenanjung.
Seorang penjawat awam, Norbayah Nordin, 35, berkata dia ada janji temu di Hospital Pusratu, Shah Alam hari ini untuk rawatan "slip disk" tetapi terpaksa membatalkannya kerana harga tiket yang tinggi.
"Semalam, (Khamis) saya tengok dalam laman sesawang syarikat penerbangan itu, harganya lebih tinggi mencecah RM2,008.00, sebelum menurun kepada RM1,593 hari ini tetapi ia masih mahal untuk seorang penjawat awam," katanya kepada Bernama hari ini.
Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Daniel Doughty berkata lonjakan harga tiket yang dialami pengembara di pulau ini bukan satu isu baharu.
"Ia merupakan suatu keadaan yang ramai maklum, kami diberitahu ini berikutan ada syarikat penerbangan yang cuba bangkit daripada kerugian dengan menaikkan tambang mereka dan menggunakan penentuan harga dinamik untuk menentukan kos tambang.
"Isu ini sudah berlegar sekurang-kurangnya untuk 10 tahun lepas tanpa sebarang penyelesaian konkrit, jadi isu ini timbul dari dahulu sehingga sekarang," katanya.
Daniel berkata harga tiket penerbangan yang turun naik tidak menjadi isu kepada mereka yang berkemampuan tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan memerlukan penerbangan kecemasan ke Kuala Lumpur ini amat menyukarkan mereka.
"Awal tahun ini isu serupa mengenai tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak hangat diperdebatkan dan selepas intervensi kerajaan, kita dapat menyaksikan penurunan ketara tambang dan kami berharap kerajaan juga boleh melakukan perkara yang sama untuk kepentingan pengguna dari Labuan," katanya.
--BERNAMA