Harga telur di Amerika Syarikat capai rekod tertinggi
Bernama
Disember 22, 2024 20:00 MYT
Disember 22, 2024 20:00 MYT
SACRAMENTO (Amerika Syarikat): Harga telur di seluruh Amerika Syarikat melonjak ke tahap tertinggi tahun ini, didorong oleh wabak selesema burung dan peningkatan permintaan semasa musim cuti, lapor Xinhua.
Harga borong bagi telur bersaiz besar secara nasional mencecah US$4.07 sedozen pada Jumaat, meningkat secara mendadak daripada US$1.10 pada awal tahun ini, menurut data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Kenaikan harga didorong oleh kesan wabak selesema burung yang sangat patogenik terhadap populasi ayam.
Kesan dilihat amat ketara di pasaran pesisir seperti California dan New York, yang mencatatkan peningkatan harga paling signifikan.
Industri ini mengalami kerugian besar dalam populasi ayam membabitkan 36.8 juta ekor di 12 negeri sepanjang 2024 akibat wabak selesema burung dan kebakaran kemudahan, menurut USDA.
Sebanyak 38 peratus daripada jumlah kerugian berlaku sejak 1 Nov dan 28 peratus pada Disember, bertepatan dengan tempoh permintaan tahunan tertinggi bagi telur.
Permintaan telur secara tradisinya memuncak semasa musim cuti, apabila aktiviti membakar dan memasak meningkat.
-- BERNAMA