Harga siling pelitup muka antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bernama
Ogos 25, 2020 08:45 MYT
Menurut Cha, bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling. - Gambar hiasan
Persoalan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga siling pelitup muka tiga lapis yang berkuat kuasa pada harga RM1 ketika ini, bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Cha ingin tahu sama ada harga siling itu akan diturunkan secara berperingkat pada masa depan memandangkan bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling.
Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai sama ada kementerian itu bercadang untuk memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap memandangkan mereka memberi perkhidmatan sama kepada masyarakat.
BACA: Harga siling pelitup muka akan diturunkan lagi di bawah RM1 - Alexander
BACA: Hospital swasta caj pelitup muka mahal dikompaun RM200,000
BACA: Harga siling pelitup muka turun RM1.20 menjelang 15 Ogos
BACA: Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos - Ismail Sabri
Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan beralih kepada soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo Sarawak serta jangkaan projek berkenaan siap sepenuhnya.
Usai sesi itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dijangka membacakan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 buat kali pertama.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#Ahmad Jazlan Yaakub #bekalan #Cha Kee Chin #Dewan Rakyat #harga p asaran #harga siling #kerajaan #kesihatan #operasi #Pan Borneo Sarawak #Parlimen #pasaran #pelitup muka #perubatan #rakyat #SOP #undang-undang
;