Harga siling pelitup muka akan diturunkan lagi di bawah RM1 - Alexander

Fareez Azman
Ogos 22, 2020 13:38 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia di Ibu negara pada Sabtu. Gambar: Astro Awani
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menurunkan lagi harga siling bagi pelitup muka di bawah RM1.
Menurut menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, penurunan itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga pelitup muka.
"Kami memahami bagaimana, sebab pengeluaran tempatan kilang tempatan dan pengimportant kita bagi ruang supaya tidak ada kekurangan bekalan.
"Tetapi sekarang saya beritahu, kami akan turunkan lagi bawah RM1, nanti kita akan kira. Kita akan turunkan lagi, saya bagi notis last," katanya.
Tambahnya, penurunan harga siling itu dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan lagi.
"Bila? mungkin dalam sebulan lagi, jadi supaya kita adil kepada semua pihak yang menjual dan membeli. Kalau turun kami akan pastikan bekalan tidak terputus," katanya.
Ujar Alexander, pada awalnya terdapat aduan daripada pihak pengilang mengenai harga siling yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Bagaimanapun, jelasnya perincian akan dilakukan terlebih dahulu sebelum harga siling diturunkan agar tiada gangguan bekalan pelitup muka berlaku.
Dia berkata demikian selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia di Lulu Hypermarket Department Store di ibu negara pada Sabtu.
#Alexander Nanta Linggi #Barangan Buatan Malaysia #bekalan #harga siling #kempen #KPDNHEP #pelitup muka #pembeli #pengilang #rakyat
;